EDEKAH TIDAK JADIKAN KITA MISKIN
"UMUM
mengetahui setiap kita akan mati. Lalu, segala harta yang dimiliki akan
ditinggalkan, tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur. Walaupun
begitu, masih ramai di kalangan kita yang keberatan menghulur sedekah
atau zakat.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang baik sebagaimana dialami sekarang.
Malah,
tidak kurang yang fobia akan jatuh miskin jika berzakat atau bersedekah
ketika mana mereka diuji dengan kesempitan hidup. Sedangkan Allah SWT
berfirman yang maksud-Nya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh)
orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat
sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai 100
biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki.
Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui. (al-Baqarah: 261)
Wartawan
MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman bagi
mengupas isu ini.
MEGA: Apabila keadaan ekonomi kurang baik ramai
yang takut bersedekah. Antara sebabnya, takut tidak cukup makan dan
kegunaan harian. Apakah benar dakwaan ini?
AHMAD HUSNI: Itu
adalah anggapan yang tidak tepat dalam Islam. Walaupun ada pepatah Arab
yang sebut, orang yang tidak ada apa-apa tidak mampu memberi apa-apa.
Namun, memberi dalam keadaan kita serba kekurangan atau tidak ada adalah sangat berharga dan tinggi nilai peribadinya.
Nabi Muhammad SAW pun tidak berharta tetapi baginda tetap bersedekah.
Dalam
satu peristiwa, pernah Nabi memberikan baju yang baru dibeli dan
dipakainya apabila didatangi oleh seorang lelaki Arab yang meminta baju
itu daripada baginda.
Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu
Hurairah r.a. maksudnya: Sedekah tidak akan mengurangkan harta
seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan
baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan
menaikkan darjatnya. (Sahih Muslim)
Penulis buku terkenal,
Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad menyatakan dia berpegang
teguh dengan prinsip tidak akan berlaku sesuatu kecuali kita
mengorbankan sesuatu.
Itu berdasarkan pengalaman Kiyosaki yang
pada suatu ketika berada dalam ambang muflis. Tetapi dia mencari orang
yang merempat tidak berumah dan membantu orang tersebut.
Tidak lama kemudian, dia seolah-oleh dibentangkan jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya.
Ada juga yang bagi alasan miskin sebab itu tak perlu bagi sedekah. Betulkah?
AHMAD HUSNI: Kita jangan keliru dengan konsep sedekah. Sedekah tidak sama dengan zakat.
Zakat bergantung kepada keupayaan dan keahlian manakala sedekah tidak bergantung kepada yang demikian.
Analogi
bahawa sedekah itu mesti dengan wang ringgit juga adalah tidak tepat.
Rasulullah pernah bersabda bahawa senyum itu pun sedekah. Maknanya,
sedekah itu tidak terlalu berkait dengan harta.
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang
menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah
mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan
pertolongan. (riwayat al-Bukhari)
Jadi, kita masih boleh
bersedekah tenaga, ilmu atau buah fikiran. Bukan semua orang yang
berilmu itu kaya tetapi mereka boleh sedekahkan ilmu untuk kebaikan
orang lain.
Kemiskinan adalah perkara yang akan berlaku sepanjang
masa. Dari segi teorinya, ia mungkin boleh dihapuskan tetapi realitinya
ia tetap berlaku.
Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar Abdul
Aziz walaupun seolah-olah sukar mencari golongan asnaf. Sebabnya iman
rakyat ketika itu adalah tinggi dan semuanya tidak mahu terima zakat.
Sebaliknya mahu menjadi pembayar zakat.
Hayatilah firman Allah
yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan
kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia
menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut);
sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta
kelebihan kurnia-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya,
lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268 )
Ada juga individu yang apabila ekonomi meleset baru hendak membayar zakat. Adakah ini hikmah di sebalik hal itu?
AHMAD
HUSNI: Bagi golongan begini, kita ucapkan selamat datang dan tahniah.
Sebabnya, mereka sudah sedar tentang kewajipan berzakat.
Semasa
waktu senang mungkin mereka terlupa mengingat Allah. Ini sebagaimana
disebut dalam al-Quran yang maksud-Nya: Ingatlah! Sesungguhnya jenis
manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau sewajarnya). Dengan
sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Ingatlah,
sesungguhnya kepada Tuhamu tempat kembali (untuk menerima balasa).
(al-Alaq: 6-7)
Bagaimanapun, Allah yang Maha Pemurah bangga
melihat hamba-Nya yang ingat kepada-Nya walaupun pada waktu mereka
ditimpa kesusahan.
Namun, sikap begini harus dipuji. Sebabnya
waktu senang mereka susah nak bayar zakat tetapi apabila waktu susah,
senang mengeluarkan zakat.
Apa yang penting ialah niat, keikhlasan dan istiqamah dalam melaksanakannya.
Tidak dinafikan mungkin ada individu yang berkira-kira untuk memotong pembayaran zakat apabila ditimpa kesempitan.
Saya
berpendapat ini kurang sesuai kecuali dalam keadaan yang sangat
kritikal. Kalau nak dibuat perbandingan contohnya kadar zakat RM10 atau
RM20 sebulan, kita harus tolak dulu nilai top-up telefon bimbit atau
langganan stesen televisyen berbayar sebelum memutuskan untuk potong
bayar zakat.
Kita maklum kelebihan menderma sebagaimana ayat 261
surah al-Baqarah di atas. Namun, ramai juga yang gelisah dan kurang
senang apabila terlalu ramai yang datang meminta. Apakah saranan Islam
dalam keadaan begini?
AHMAD HUSNI: Dari satu sudut barangkali
senario sedemikian menunjukkan ekonomi kita kurang baik atau sedikit
merosot. Demikian juga apabila semakin ramai yang membuat jualan
langsung buku-buku.
Tidak dinafikan sebahagian kita kurang senang
apabila waktu makan tengah hari didatangi oleh empat atau lima orang
daripada pertubuhan yang sama mengutip derma. Sedangkan kita sudah
menderma kepada orang yang pertama tadi.
Dalam hal ini, kita
mesti ada prinsip. Kalau tidak mahu bagi, cakap dan tolak dengan baik.
Jangan pula tuduh yang bukan-bukan termasuk ada sindiket mengutip derma
dan sebagainya.
Jika ada kemampuan, bagi sekadar yang mampu.
Kalau mereka letak harga atau syarat dan kita tidak mampu, katakan
sejumlah ini saja yang saya mampu.
Ingatlah firman Allah yang
maksud-Nya: Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik
dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah
(pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang)
menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
(al-Baqarah: 263)
Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak.
Ini
berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang
anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara:
Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak
soleh yang mendoakan untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Apakah pula strategi pihak yang mengutip zakat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang?
AHMAD
HUSNI: Institusi seperti Pusat Zakat dan Baitulmal berhadapan dengan
cabaran besar dalam keadaan semasa apabila melihat dunia dilanda kemelut
ekonomi.
Adalah dijangka permintaan terdapat bantuan akan
meningkat. Pada masa yang sama kecenderungan masyarakat bayar zakat pula
berkurangan.
Oleh itu, kita perlu merancang dan membuat kajian
teliti untuk memastikan apa yang diberi kepada fakir miskin menepati
sasaran, tidak berlaku pembaziran dan tidak disia-siakan.
Ini
sudah tentu memerlukan pengamatan dan pengawasan yang lebih teliti. Pada
masa yang sama, kita akan menggiatkan usaha turun padang memberi
penerangan kepada masyarakat tentang kewajipan berzakat. Ia sedang
dilakukan melalui pembukaan kaunter penerangan di jabatan-jabatan
kerajaan.
Selain itu, aktiviti ceramah untuk membangkitkan
kesedaran juga akan dipergiatkan. Ini supaya kita dapat mengimbangkan
antara mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang masih bekerja.
Pada
masa yang sama hayatilah kata-kata Saidina Ali, apabila mengukur nikmat
Allah, maka lihatlah orang yang lebih rendah atau kurang daripada apa
yang kamu ada. Barulah kita tahu, bahawa di sebalik kekurangan dan
kesempitan kita, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita."
No comments:
Post a Comment