Sunday 29 April 2012

Rakaman CCTV Kes Nurin Jazlin

Nuffnang Ads
Tiga lelaki yang dilihat dalam rakaman CCTV berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin telah menghubungi polis. Mereka telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk memberi penjelasan tentang tujuan mereka berhenti di hadapan kedai di mana mayat Nurin Jazlin ditemui.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketiga-tiga lelaki berkenaan memberi kerjasama yang baik dan kenyataan mereka telah direkodkan. Pihak polis juga tidak menahan mereka bagi membantu siasatan.

Sebelum itu pada 11 Oktober yang baru lalu pihak polis telah mempertontonkan dan mengedarkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Rakaman CCTV ini telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk dilakukan proses "enhancement".

Rakaman pada 16 September 2007 pukul 1.00 petang itu menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal Modenas Kriss tiba dengan membawa beg Diadora berwarna biru hitam. Dia dilihat membuat panggilan telefon dan selepas itu mengangkat beg yang dipercayai mengandungi mayat Nurin Jazlin ke tepi bangunan. Lelaki itu kemudian terus meninggalkan tempat itu dengan motosikalnya. Sila ke laman video The Star Online untuk menyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Kira-kira sejam kemudian seorang wanita berbaju merah kelihatan mundar mandir di depan kedai berkenaan sebelum berdiri menunggu sesuatu di situ. Gambar lakaran wanita tersebut telah diedarkan oleh pihak polis sebelum ini. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Tidak lama kemudian sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak yang dinaiki oleh tiga orang lelaki kelihatan berhenti di hadapan kedai di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Tiga orang lelaki yang berada di dalam kereta ini telah pun hadir ke balai polis untuk memberi keterangan. Walaupun begitu wanita berbaju merah yang turut beredar dari situ bersama-sama kereta yang sama belum lagi tampil ke hadapan. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Terkini :
Seorang wanita berbaju merah yang dapat dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui telah hadir di Ibu Pejabat Polis Petaling pada hari Sabtu 20 Oktober lalu. Menurut Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pihak polis telah merekodkan keterangan wanita yang berumur 15 tahun itu dan berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan. Beliau juga menegaskan, ketika ini pihak polis memberi tumpuan kepada usaha mengesan lelaki yang membawa dan meletak beg Diadora di tepi tangga kedai di Taman Petaling Utama pada 16 September lalu.

, , ,

Rebet Tunai Minyak

Nuffnang Ads
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan baru-baru ini kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter. Bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak ini pemilik kereta yang berkuasa enjin sehingga 2,000cc, serta pikap, trak dan jip sehingga 2,500cc, akan mendapat rebet RM625 bagi setiap kenderaan manakala motosikal 250cc akan menerima RM150.

RM625 & RM150
Pada asalnya rebet ini akan hanya mula dibayar pada 1 Julai 2008 tetapi telah diawal kepada hari Sabtu ini 14 Jun 2008. Tuntutan rebet tunai minyak ini boleh dibuat di mana-mana pejabat pos. Semua pejabat pos beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu berikutan Jumaat merupakan cuti hujung minggu. Pejabat pos ditutup pada Sabtu pertama setiap bulan dan juga pada cuti umum.

Berikut adalah prosedur untuk menuntut rebet tunai minyak tersebut;

  1. 1. Membawa kad pengenalan atau MyKad atau kad pengenalan polis/tentera.

  2. 2. Pemilik asal kenderaan sahaja.

  3. 3. Maksimum lima kenderaan persendirian bagi setiap pemilik.

  4. 4. Mengisi butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan pada borang yang terdapat di pejabat pos.

  5. 5. Mengisi borang berasingan bagi setiap kenderaan.

  6. 6. Pos Malaysia akan mengesahkan butiran dengan sistem pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menentukan kelayakan rebet tunai.

  7. 7. Pihak ketiga tidak dibenarkan membuat tuntutan bagi pihak pemilik kenderaan.

Selain membuat bayaran tuntutan secara tunai, Pos Malaysia juga menyediakan kemudahan bayaran rebet tunai menerusi kiriman wang.

Bagi mendapatkan bayaran melalui kiriman wang, pemilik kenderaan perlu melakukan prosedur yang sama dan juga menulis alamat tetap atau alamat surat menyurat serta nombor telefon untuk dihubungi pada borang yang sama. Borang ini hendaklah dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan di pejabat pos.

Tempoh masa penerimaan bayaran kiriman wang melalui pos ini adalah lebih kurang tujuh hari. Kiriman wang ini boleh ditunaikan oleh pemilik kenderaan di pejabat pos atau memasukkannya ke dalam akaun bank persendirian.

Bagi tempoh Fasa 1, pemilik kenderaan yang telah membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei tahun ini boleh membuat tuntutan mulai Sabtu ini sehingga 31 Mac tahun depan.

Bagi Fasa 2, pemilik kenderaan yang membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 Jun tahun ini sehingga 31 Mac, 2009, boleh membuat tuntutan bagi rebet tunai di semua pejabat pos mulai 1 Julai.

Maklumat yang lebih terperinci mengenai tuntutan subsidi rebet tunai dan borang tuntutan rebet tunai ini boleh didapati di laman web Pos Malaysia.

Mampukankah rebet RM625 dan RM150 ini menampung bebanan rakyat dengan kenaikan petrol sebanyak 41% dan diesel 63% ?

Technorati Tags: , , , ,

Angkasawan Negara

Hari ini 10 Oktober 2007 pada pukul 9.21 malam, kapal angkasa Soyuz TMA-11 telah melonjak meninggalkan bumi dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. Tiga orang penumpang di dalamnya ialah Komander Peggy A. Whitson dari Amerika Syarikat, Jurutera Penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Mereka akan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang terletak lebih daripada 300km dari bumi.

Ini merupakan satu detik bersejarah kepada negara Malaysia kerana telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di angkasa selama 10 hari, ini ternasuk 8 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa. Kapal angkasa Soyuz TMA-11 dijangka akan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa pada 12 Oktober pukul 10.51 malam. Di situ nanti Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan mengadakan tiga ujikaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor - Angkasawan NegaraDr. Sheikh Muszaphar Shukor dilahirkan pada 27 Julai 1972 di Kuala Lumpur. Beliau telah belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Maktab Rendah Sains MARA Muar, Johor. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mempunyai MBBS dari KMC Manipal, India dan Master in Orthopaedic Surgery dari HUKM. Sekarang ini bekerja di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semenjak tahun 2005. Sebelum itu beliau pernah bertugas di Hospital Seremban (1998), Hospital Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).

Beliau merupakan orang Islam ke sembilan ke angkasa dan yang pertama akan merayakan Aidil Fitri nun jauh dari bumi. Pada 1 Syawal nanti beliau akan menjamu 16 orang angkasawan lain di Stesen Angkasa Antarabangsa. Makanan yang dibawa untuk dihidangkan ialah biryani ayam, satay ayam, rendang tok, kepingan mangga kering, gulungan pisang, tempe, jeli halia, Roselle Granola bar dan kuih raya bangkit.

Beberapa isu juga telah timbul berkaitan dengan program angkasawan negara ini. Bermula dengan wang yang begitu banyak yang dibelanjakan untuk menjayakan program ini walaupun setelah pihak kerajaan memaklumkan bahawa kosnya merupakan sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003. Ini diikuti pula dengan pihak NASA yang hanya menyebut Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai "spaceflight participant" sahaja bukannya angkasawan.

Walau apapun pendapat anda, kita berdoalah supaya misi yang diikuti oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sehinggalah beliau balik ke bumi pada 21 Oktober nant

Gambar Bedah Siasat Nurin Jazlin

iapakah yang sanggup mengedarkan beberapa gambar seorang kanak-kanak yang telah didera dan longlai tidak bernyawa lagi. Gambar-gambar yang mengaibkankan menunjukkan kesan-kesan kekejaman yang terpaksa ditanggung oleh seorang insan kecil yang tidak berdosa. Sesiapa yang mempunyai perasaan pasti tersentuh apabila melihat gambar-gambar tersebut, apatah lagi jika kaum keluarga terutama ibubapa beliau yang melihatnya.

Gambar-gambar bedah siasat Nurin Jazlin telah disebar melalui emel hari ini oleh orang tertentu. Penyebaran gambar-gambar tersebut menjadi meluas apabila ramai yang menerimanya telah menyebarkannya semula kepada kenalan masing-masing. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar telah membuat laporan polis selepas melihat gambar-gambar yang disebarkan melalui emel itu.

Beliau memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengedarkan gambar-gambar tersebut kerana mereka boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi atau didakwa memiliki bahan-bahan lucah. Menurut beliau amaran ini ditujukan kepada anggota polis yang mempunyai akses secara langsung kepada gambar-gambar itu serta mereka yang ada menyimpan gambar itu sekarang, ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pihak keluarga arwah Nurin Jazlin juga ada membuat kenyataan melalui laman blog Nurin bahawa mereka juga akan membuat laporan polis dan memohon orang ramai menghentikan mengedarkan gambar-gambar tersebut. Oleh itu sesiapa yang telah atau akan menerima gambar-gambar tersebut tidak akan menyimpan atau menyebarkannya kepada orang lain.

Terkini : Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memaklumkan bahawa individu yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin Jazlin Jazimin telah dikenal pasti. Individu berkenaan telah pun ditangkap dan akan dihadapkan ke mahkamah. Maklumat lanjut berkenaan individu tersebut belum boleh didedahkan sehinggalah pihak polis telah sedia untuk mendakwanya. Berita penuh boleh dibaca di Bernama.

Akademik Nasyid

Nuffnang Ads
Program realiti Akademi Nasyid yang diperkenalkan TV9 dilihat mampu melahirkan satu kelompok penggiat irama nasyid global atau universal. Secara tidak langsung melalui program ini, irama nasyid tanah air akan berkembang dan mampu bersaing seperti mana irama pop, balada, R&B, rock, jazz dan hip hop.

uji bakat berakhir 8 Jun
Program yang memaparkan kelainan daripada program realiti sedia ada bersesuaian dengan imej TV9 sebagai stesen televisyen yang menjurus kepada program berunsur Islam serta menerapkan nilai murni kepada penonton.

Selama ini, banyak stesen mencari bakat hiburan bagi penyanyi yang boleh membawa lagu berbentuk pop rock, balada, etnik kreatif dan hip hop. Kami berusaha ingin memberi ruang yang lebih luas kepada genre nasyid di mana nasyid juga adalah sesuatu yang universal.

Akademi Nasyid akan menampakkan bahawa sesebuah nasyid itu bukan terbelenggu dengan muzik lama dan sempit, tetapi Akademi Nasyid akan memaparkan kepelbagaiannya dari kontemporari ke puisi acapella dan sebagainya.

Apa yang penting dan diutamakan juga ialah mesej melalui lirik yang baik, kreatif, segar, menginsafkan dan memberi peringatan serta pengajaran.

Pihak TV9 yakin rancangan realiti Akademi Nasyid ini pasti mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton kerana rancangan itu dapat melahirkan ramai lagi bakat baru dalam muzik nasyid kontemporari yang berunsurkan ketuhanan dan kemanusiaan, sekali gus dengan adanya rancangan itu ia dapat mempopularkan lagi muzik nasyid di negara ini.

TV9 kini membuka penyertaan kepada penggemar irama ini untuk tampil menunjukkan bakat mereka pada sesi uji bakat yang bakal diadakan di enam lokasi.

Pihak TV9 percaya ramai anak-anak muda yang berbakat sama ada perseorangan atau kumpulan di luar sana menanti peluang ini dan menyeru mereka tampil untuk menunjukkan bakat mereka dalam Akademi Nasyid.

Penyertaan dibuka kepada semua yang berminat sama ada secara solo mahupun berkumpulan yang tidak melebihi lima orang setiap kumpulan dan menepati syarat penyertaan seperti berikut, warga negara Malaysia yang berumur 18 sehingga tidak melebihi 35 tahun.

Penyertaan secara berkumpulan mestilah kumpulan jantina yang sama. Kumpulan lelaki atau kumpulan perempuan dan peserta mestilah bertaraf amatur serta tidak pernah menandatangani kontrak rakaman album dengan mana-mana syarikat rakaman.

Bagi kemudahan peserta disediakan tujuh lagu yang boleh dipilih oleh peserta semasa sesi uji bakat seperti Intifada (Rabbani), Permata (Kopratasa), Al-Iktiraf (Raihan), Permaidani (Aris Ariwatan), Doa (Rahimah Rahim), Sesungguhnya (Raihan) dan Berita Kepada Kawan (Akil Hayy).

Peserta akan melalui tiga peringkat uji bakat sebelum layak menyertai Akademi Nasyid yang bakal disiarkan stesen ini bermula 1 Jun dan berakhir 30 Ogos sebanyak 11 episod.

Pada masa yang sama, pihak TV9 juga akan mengadakan roadshow sehari sebelum sesi uji bakat yang diadakan di setiap lokasi yang ditujui.

Ponteng Antara Masalah Disiplin Pelajar Sekolah

Sebelum ini saya ada menulis tentang beberapa masalah disiplin pelajar walaupun sekolah baru sahaja dibuka selama tiga minggu pada tahun ini. Cerita bagaimana seorang pelajar yang maut setelah jatuh daripada tingkat dua sekolahnya, ketua pengawas dipukul oleh sekumpulan pelajar sehingga mendapat jahitan di kepala dan kisah seorang pelajar tingkatan satu yang dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan dua dan tiga ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Pelajar Sekolah.

Sementara itu pada tahun lepas pula saya ada menulis tentang beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam usaha untuk menanggani masalah disiplin ini. Cerita tentang bagaimana pentingnya peranan ibubapa, keluarga, sekolah dan rakan sebaya. Malah arah tuju sistem pendidikan yang lebih menjurus kepada peperiksaan ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Sekolah.


ponteng sekolah
Salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.

Jangan terkejut jika ada yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang bersekolah rendah. Ini amat ketara semasa kelas ganti pada hari Sabtu dan ketika selepas peperiksaan. Kedatangan yang merosot ini boleh dilihat apabila pelajar beberapa kelas terpaksa digabungkan untuk memenuhkan sebuah kelas. Cubalah tanya kepada anak atau adik anda bila ada kelas gantian hari Sabtu atau selepas peperiksaan nanti.

Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri. Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan seringlah dia melencong ke tempat lain.

Pihak sekolah juga perlu mengambil perhatian kerana antara punca pelajar ponteng ialah kegagalan pihak sekolah menyediakan program yang menarik setelah selesainya peperiksaan. Ini telah dijadikan alasan oleh ibubapa dan para pelajar yang mengatakan membuang masa dan bosan untuk ke sekolah.

Oleh itu sekolah patut mengadakan program yang menarik minat pelajar hadir ke sekolah selepas menduduki peperiksaan. Sementara itu ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya terus ke sekolah meskipun peperiksaan telah berakhir.

Pada tahun lepas Kementerian Pelajaran ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Perubahan yang dicadangkan ini juga membabitkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila ianya dilaksanakan tahun ini pihak kementerian berharap masalah ponteng sekolah akan dapat dibendung.

Semoga secara beransur-ansur masalah disiplin pelajar sekolah ini akan dapat dikurangkan. Di masa akan datang saya akan menyentuh tentang cara terbaik untuk mengendalikan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Technorati Tags: , , ,

Raya, Remaja, Motosikal Dan Kemalangan

ari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911 berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana 53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi. Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.

Pada tahun lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.

Sepanjang bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal. Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa. Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari raya di rumah kawan.

Kita semua sedia maklum apabila remaja ini berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi.

Kenapakah ibubapa begitu mudah membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan lalu lintas jalanraya.

Saya masih ingat kepada satu peristiwa yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota polis telah mengarahkan dia berhenti.

Bagi mengelakkan ditahan polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri. Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.

Menurut adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak polis lagi.

Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?

Technorati Tags: , , , ,

Sajak Untuk Ibu

Detik masa terus berlalu tanpa menanti sesiapa dan semakin hari umur kita pun akan meningkat bersama pengedaran masa. Kita semua dilahirkan di dunia ini melalui seorang yang bernama ibu. Begitu besar peranan dan jasa insan yang bernama ibu ini. Oleh itu renungkanlah sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk membalas segala budi ibu ini. Sekurang-kurangnya peluk dan ciumlah ibu masing-masing yang dapat berjumpa atau sekurang-kurangnya telefon ibu bagi mereka yang duduk berjauhan.

Bersempena dengan hari Ibu yang akan berlangsung pada hujung minggu ini 11 Mei 2008, di sini dipaparkan beberapa koleksi sajak yang ditujukan kepada ibu. Sajak-sajak ini telah diperolehi daripada beberapa laman blog, terima kasih.

Gugurnya Kelopak Itu...

Tunas itu mula bercambah,
Sekian lama tertanam di pelosok gentian,
Menjalar robek sinar mentar,
Walau halangan datang menerpa.

Tunas itu mula berkembang,
Kembangnya sekuntum mawar,
Bagai si puteri bangkit beradu,
Walau saingan menyerang tiba.

Si mawar mula mewangi,
Semerbak harum menusuk kalbu,
Ayuan merah kelopak menawan,
Lambaian hijau daunan menenang.

Lembut tubuh bersalut duri,
Membangkit cemburu iri sang flora,
Menzahir gerun takut sang fauna,
Hanya si kumbang gagah tiada gentar.

Ibu dikaulah mawar itu,
Yang kupujai tiap waktu,
Yang kurindui wajahmu,
Yang kukagumi ketabahanmu.

Cekal hati mendidik daku,
Sabar murni melayan kerenah anakmu,
Tiada kedengaran sepatah keluhan,
Tiada kelihatan setitip kemarahan.

Kini mawar itu kian layu,
Perlahan dimamah arus usia,
Gugur sudah si ayu kelopaknya,
Hilang sudah lambaian daunannya.

Segamit memori ku kenangi,
Setulus kasih ku dambai,
Potret wajahmu ku tatapi,
Sebuah kehilangan yang tiada ganti.

khas buat ibu tersayang..al-fatihah

~tinta lughahwi~


Ingatlah Kepada Ibumu

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat
marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! “
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada
pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat
Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan
berkerja… bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun
cukuplah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus
sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu
sudah tiada.

ingatlah pengorbanan ibuuuuu….

~???~


Ibuku

Ibu
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasanya
Ketika aku:
Sedih
Gembira
Gelisah
Naluri ibumu
Bagaikan sebati dalam diriku

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga turut berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat
Aku hidup di muka bumi ini
Sebagai manusia

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Ibu
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anaknya
Namun, terimalah keikhklasanku
Untuk menyayangi
Insan yang mulia ini

~Muhammad Syafiq~


Sajak Untuk Ibu

Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya...
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku...
Mengajarku erti sebuah kehidupan

Ibu….
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini...

Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta...

~Sulaiman~


Aku Masih Ingat

Aku masih ingat
dan akan terus ingat
sehingga akhir hayat
dulu engkau banyak menderita

aku masih ingat
dulu engkau banyak menangis
aku masih ingat
dulu engkau banyak berkorban
apa saja

aku masih ingat
dulu engkau berbalut ketabahan
membesarkan aku mengenal kemanusiaan
aku masih ingat
dulu engkau berlantaikan semangat
mengasuh aku menjadi insan beriman

aku masih ingat
dulu engkau berdinding kegigihan
mendidik aku menjadi anak soleh

aku masih ingat
dulu engkau merumahkan setia
memelihara aku dengan kasih sayang
menjadi manusia berguna

aku masih ingat….
aku masih ingat….
tak kan mudah aku lupa
karena jasamu tak terbalas semuanya
karena tak terenang sepenuhnya
di laut budimu

ibu……..!!!!
aku masih ingat
mengucapkan terima kasih
dan akan terus ingat melafazkannya
sehingga akhir hayat
aku masih ingat
segala yang murni itu…

~Sepriadi~

Lihat juga Riwayat Seorang Ibu.

Technorati Tags: , , , ,

Sesuatu

Sesuatu
yang kita inginkan kembali
seperti dulu
tapi ianya mungkin tak seperti itu
kerna perubahan waktu
cinta kasih sayang sentiasa membelai hati ini
terasa kekosongan yang tidak pernah di isi
Sesuatu
yang tidak pernah dimengertikan
cinta itu terang bercahaya
menerangi setiap jiwa
terasa diri dimiliki
tapi akhirnya masih menyendiri
bila kecewa
lemahnya terasa seperti hayat ini tiada lagi
Sesuatu
yang pernah dimiliki
tiada lagi
hanya kenangan naluri
pernah bertapak dihati
bagaikan sebilah pedang tajam
menghiris hati ini
Sesuatu
yang menjadi rahsia diri
akhirnya akan membinasakan akan diri sendiri
Nukilan:
Ria Darwina
Januari 2010

Jika Bangsa Tiada Bahasa

Bahasa tumbuh di kebun peladang:
ada bahasa burung ada bahasa belalang
ada bahasa sawah ada bahasa bendang
ada bahasa bunga ada bahasa kumbang
ada bahasa padi ada bahasa keladi
ada bahasa bukit ada bahasa langit
ada bahasa gunung ada bahasa awan
ada bahasa pohon ada bahasa haiwan.
Bahasa mahir di rumah tukang:
ada bahasa gergaji ada bahasa besi
ada bahasa pahat ada bahasa tukul
ada bahasa paku ada bahasa kayu
ada bahasa pisau ada bahasa pasu
ada bahasa kapak ada bahasa pasak.
Bahasa belayar di laut hidup:
ada bahasa ikan ada bahasa ketam
ada bahasa sotong ada bahasa udang
ada bahasa kerang ada bahasa karang
ada bahasa mutiara ada bahasa tiram
ada bahasa kapal ada bahasa pelabuhan.
Jika bangsa tiada bahasa
layakkah bernama manusia?
ABDUL HADI YUSOFF
Kelantan Darul Naim.

Rahsia Kita

Kata-kata cintaku melayang ke langit, menari-nari, mendengung-dengung
menyebut namaku setelah melihat Allah di sana;
kata-kata itu mencari-cari takdirnya.
Ketika telah suci seperti cahaya,
Allah pun segera tahu
bahwa kata-kata cintaku
adalah kata-kataNya pula.
Oleh kehendakNya,
kata-kata cintaku menjelma seorang bidadari
yang sejak semula terus merinduiku;
sebagian rindunya tumpah sebagai hujan
yang sepertinya ingin menyampaikan padaku
rahasia kesetiaan.
Ia sendiri ingin turun dan hidup denganku bersama;
tapi ketika dilihatnya
lalu-lintas dunia terlalu ramai dan memusingkannya,
segera ia membatalkan niatnya.
Ia sempat meninggalkan pesan
bahwa aku masih bisa menjumpainya
pada sepertiga malam terakhir
saat tubuhku istirah dan jiwaku
digiring ke padang ruh yang bergairah.
Dalam tidur beberapa kali aku bertemu dengannya;
tapi saat terbangun, aku sulit menceritakannya.
Kemahaindahan susah sekali dipikirkan.
Saat kau pergi dan di dini hari
kuterbangkan padamu kata-kata cinta,
mungkin kau akan terbuai oleh semacam kenikmatan
yang tak kau tahu dari mana asalnya;
seperti ada lindap cahaya melintas,
tapi tak bisa penuh kau mengenalinya.
Dunia, bertukar ingat dengan lupa.
O, kawan, sepatumu, lepaskan;
kitabmu, katupkan; rahasia cinta ada di sini.
Akan gemetar dan berkeringat engkau
saat rahasia cinta menyerapkan dirinya padamu,
meski udara sangat dingin dan berangin.
Ia mengungkapkan diri melalui suara-suara hening
yang meraya, yang membuat rindumu selalu baru.
Jadilah dan belajarlah kembali
menjadi senakal kanak-kanak pada hari-hari pertama,
yang belum bisa membeda, hanya bermain penuh penasaran.
O, mungkinkah kau bisa mencintai sepenuh hati,
sementara hati itu milik Si Pemilik Cinta?
~ Salahuddien Gz

Aku Penulis

Pemikiranku
pohon baik berbuah
daun mencurah
kemurnian dan ilmu
padaku
Seandai kau lihat
daku sempurna
renunglah bagi si arif
dengan mata tajam
Usah pandang kelemahan ini
ingatlah
akulah penulis
karya melebihi
bintang angkasa ini.
Petikan Divan Nasir-i Khusraw

Kembali Ke Rumahmu

(buat Pak dan Ibu Darwis)
Semua seperti dulu
meja tulis bekas pensel
almari pakaian jendela dan tali penyidai
sarung baru dibasuh
aku kembali ke rumahmu
Senyuman terhampar di kaca
dakapan anak-anak suami tercinta
terdengar dentingan piring
air menggelegak di cerek
menyediakan air mandi suami
nasi mengembang di tungku
cawan segera ditata
kau sudah sedia untuk hari pertama
tugas seorang isteri
biar kau bijak di kampus
bercanda dan bergosip dengan teman-teman
tapi diam-diam menyimpan kesakitan
di lipatan senyum dan kerdip mata
aku mengutip rahsia
letih dan jenuh seorang isteri.
Kubuka almari
kusentuh sisa kebaya
batik dan selendang
kepingan gambar
memang payah melupa masa lalu.
Dentingan piring
mkanan rapi di meja
bonda baru melayani,
dia yang mengerti
terdengar bisiknya
“ senang menerima kunjunganmu
kerana sehabat lama ibu “
Kupetik haruman taman
Berderaian canda putera-puterimu
segar berdoa
merelakan yang pergi
kau tetap di hati.
Siti Zainon Ismail
 Darussalam , April 2002


Kehidupan

Mengeluhku sendiri di kamar sepi
ceritera gembira dan duka
silih berganti dalam meniti
sebuah titian yang dinamakan dunia.
Kehidupanku daripada tangisan kecil
sentiasa dalam pelukan ibu bapa
bermula episod alam remaja
fantasi melangkaui realiti.
Di mana erti kehidupan sebenar?
Lorong-lorong gelap?
Rempitan motosikal di sepanjang jalan?
Atau perilaku dan sosial tanpa batasan?
Pedoman mula hilang
seketika kita terlena daripada tiang-Nya
kerana insaniah yang tidak kukuh
menjana pembentukan lahiriah angkuh.
Remaja semakin lari daripada agama
mengejar kemodenan
ibu bapa semakin lalai daripada amanah
mengikut era perubahan zaman.
Di mana erti kehidupan
jika ini semua terus berlaku?
HAIRONIZA MOHD IDRIS
Bandar Sri Permaisuri, Cheras

Mentera Patriot Bangsa

Kita langir keris pusaka
Dari cita semangat waja
Biar membara dupa bangsa
Dengan tangkas pencak
Sang wira di medan laga
Keramat loknya ditempa pandai besi
Ditinta kursani digenggaman pejuang sejati
Hei, tangkas langkahmu di tengah gelanggang
Bagai kijang bermukin di hutan
Kemas pencakmu berhadapan lawan
Bagai sang harimau siaga menerkam
Hei, jati diri kau pasakkan
Musuh kau tumbangkan
Rantai penjajah kau leburkan
Tegak sendi maruah bangsa
Pencak budi memaknakan merdeka.
Shukri Abdullah
(Berita Minggu, 23 April 2000)

Johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Kebangsaan pada tahun 1996 di Melaka

Pantun Rasa Sayang

Rasa sayang hey
    Rasa sayang sayang hey
    Hey lihat nona jauh
    Rasa sayang sayang hey

Buah cempedak di luar pagar
    Ambil galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
    Kalau salah tolong tunjukkan
    Rasa sayang hey
    Rasa sayang sayang hey
    Hey lihat nona jauh
    Rasa sayang sayang hey

Dua tiga kucing berlari
    Mana sama si kucing belang
Dua tiga boleh dicari
    Mana sama adik seorang  
    Rasa sayang hey
    Rasa sayang sayang hey
    Hey lihat nona jauh
    Rasa sayang sayang hey

Pisang emas dibawa belayar
    Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
    Hutang budi dibawa mati
    Rasa sayang hey
    Rasa sayang sayang hey
    Hey lihat nona jauh
    Rasa sayang sayang hey

Pulau Pandan jauh ke tengah
    Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
    Budi yang baik dikenang juga
    Rasa sayang hey
    Rasa sayang sayang hey
    Hey lihat nona jauh
    Rasa sayang sayang hey

Kalau ada sumur di ladang
    Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
    Boleh kita berjumpa lagi


Cinta Nabi

Waktu di Jabal Rahmah
kutatap lembah kutatap wajah
antara tugu dan kerikil batu
para hujaj memutih dalam ihram
datang lagi Cinta Nabi
airmata akhirnya mengalir
mahabbah sesama ummah
“Umatku umpama buih di akhir zaman
disepuh bayu lalu
menyerpih tak bersatu!”
Ada lembah ada wajah
purnama terbelah dua, mukjizat nyata
buktikan badai pakaianmu
meringgis nafsu.
Serigala meraung di gunung
pesona akumu dipasung
laut tak berpantai
wangkang menggerai di tanjung
tak kunjung sampai
ke Semenanjung.
Ada lembah, Hati, Rasa
waham, wasangka, Lembah Insani
firasat dan takwa menyatu
ada wajah menantang wajah.
Puput angin gurun
tergeletar nafiri luka
musafir membebat hayat
dan Kasih Nabi
ada waktunya badai
mengenal damai, insan
bangkit dari kekalahannya.
Merawat riwayat
embun dinihari
kuhimpun butir-butirmu
untuk membasuh luka sukmaku.
Seyakin angin menghampar sayap
selepas kembara senyap
malankoli telah pergi
dalam zikir di kelikir hati
setiamu tumbuh, mengukuh peri
lambai menggapai. Ada wajah
di lembah dalam metafora putih
magis Cinta Nabi
takpernah mati-mati!
Kemala
Kuala Lumpur, Malaysia

Nomaden

Penari dari dusun di tepi batas rimba raya
berjalan menyusur kaki gunung
turun jauh ke kota
Ada orang laut minta penari
menari di kapal, di perahu
di istana bayangan mimpi
dan jadi permaisuri
selama berlabuh di pelabuhan kota lengang
Lari penari ke pulau kecil
menari untuk bunga-bunga yang sedang mekar
hinggap burung kecil menyanyi
penyanyi dan penari
kini musuh kota besar
kadang turun ke laut mencari pulau
mencari dusun asing
kadang balik ke rimba raya
dan mati dalam perjalanan
~ Sobron Aidit
Dipetik dari Ketemu Di Jalan

Bacakan

Bacakan
ceritera indah ini
kerana
riang ria temanmu kan bertambah
Kisah lebih menawan
sasterawan
dari taman segar
Aku mahu
pabila kau hayati
puisiku
kau tahu
nilainya
Saat kau baca karya ini
duhai sasterawan
pinta ampun Tuhan
atas dosaku
Bisikkan:
Tuhanku!
kasihi pemuda ini
mengolah kisah indah ini
Kaulah penerima mohon ampun
hamba
usah perhati
ucapan
dalam jiwanya.
~ Gurgani
(Petikan dari Vis-u-Ramin)

Dunia Puisi

Bergayut-gayut si anak ungka
    Cukup takut bila dimandi
        Lari keluar masuk ke kota
Sayang saudara masa bersuka
    Sayang  emak sayang abadi
        Sayang kekasih masa bercinta
Belayar perahu membawa kuini
    Ke Tanjung Jati mengadap Paduka
        Bunga kemboja sembah berkarang
Kalaulah tahu jadi begini
    Tidaklah hati dibawa berduka
        Ku pilih saja orang lain
Banyak kuda makan di padang
    Kudanya tua-tua belaka
        Berjalan pun perlahan-lahan
Banyak muda sudah kupandang
    Semuanya elok-elok belaka
        Tak sama adik pilihan
Sultan Muda dari Lampung
    Memikul cangkul dengan bajak
        Singgah minum di lepau nasi
Sudah sekah tempat bergantung
    Telah patah tempat berpijak
        Kemana hendak digapai lagi?
Lada dan santan dalam gulai
    Beri tambahan daun salam
        Sayur buat pemakan nasi
Selama badan kita bercerai
    Nasi dimakan rasa sekam
        Air diminum rasa duri
Pandan berbunga sekali
    Anak harimau kena ipuh
        Destar tertenggek di kepala
Jalan daratan dilalui
    Berbagai bahaya ditempuh
        Di sini kita bersua pula
Ular tedung jangan dipermudah
    Bisanya dapat membawa maut
        Jika tak maut merana juga
Berhujan berpanas aku tak endah
    Keris lembing aku tak takut
        Kehendak hati kuturut juga
Bukan kesumba pakaian raja
    Kesumba pakaian Sultan
        Sultan Yang Dipertuan Muda
Bukan hamba ke mari sengaja
    Ke mari membawa pesan
        Perintah tak boleh ditunda
Bangau lantak terbang sekawan
    Tegak terdiam di pematang
        Naik ke pulau semuanya
Kalau tidak kerana Tuan
    Tidak badan kembali pulang
        Baik di rantau selamanya
Anak memerang memakan sagu
    Di perdunya mula diterang
        Waktu hari kabur kelala
Anak orang jangan diganggu
    Kalau suka masuk meminang
        Supaya namamu tidak tercela
Kuda liar berkeliling kota
    Kota terbuat dari kayu
        Tempat berkawal lasykar Feringgi
Kami mendengar khabar berita
    Bunga kembang sudah pun layu
        Gugur ke bumi tak harum lagi
Bila gelap pasang pelita
    Namun hari masih cerah
        Di luar masih terang cahaya
Jika sudah begitu dipinta
    Hutang dartah dibayar darah
       Hutang nyawa, nyawa padahnya
Di ranting onak bukan jerami
    Jerami kusut dibelit akar
        Bertiup angin menghembus debu
Yang penting anak bukan suami
    Suami sanggup bersalin tikar
        Anak mana menukarkan ibu?
Elok ditanamkan padi
    Selang dengan anak pisang
        Biar nampak sebidang huma
Penyayangkah orang di sini?
    Terima menumpang anak dagang
        Mujur-mujur boleh diguna
Rama-rama di surau gedang
    Surat jatuh kebalik tabir
        Pipit senandung makan padi
Selama tuan di rantau orang
    Ubat jauh penyakit hampir
        Sakit ditanggung seorang diri
Penakik pisau raut
    Ambil galah sebatang lintabung
        Seludang dijadikan nyiru
Setitik dijadikan laut
    Sekepal dijadikan gunung
        Alam terbentang dijadikan guru
Jalan kaki berbatu-batu
    Pergi mencari si anak kuda
        Lepas lari terus hilang
Ingatlah pesanan cikgu
    Tuntut ilmu selagi muda
        Bila tua barulah senang

Friday 13 April 2012

Karangan Bencana Alam....Punca-punca dan usaha-usaha mengatasinya

Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.

Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

http://pmrbest.blogspot.com/2008/03/karangan-bencana-alampunca-punca-dan.html

Karangan Remaja Lari Dari Rumah...Punca-punca

Masalah remaja lari dari rumah mendapat liputan meluas media massa.
Huraikan punca-punca remaja lari dari rumah.

Kemelut remaja lari dari rumah telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan. Keadaan inii jelas terpapar menerusi siaran media massa yang menjadi isu ini berita utama mereka. Pelbagai pihak memberikan teori atau pandangan mereka mengenai kemunculan kemelut ini dalam masyarakat kita.

Punca yang paling ketara ialah tekanan ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah sering menggunakan alasan tekanan ibu bapa sebagai penyebab utama mereka melakukan perbuatan terkutuk ini. Tekanan ib bapa ini dikaitkan dengan kegagalan ibu bapa untuk memahami keperluan peribadi remaja yang begitu mendesak kini. Ibu bapa sering menyalahkan anak atau tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada remaja. Jadi, kegagalan ibu bapa memainkan peranan mereka menjadi pendorong utama remaja melarikan diri.

Selain itu, remaja lari dari rumah dikatakan berkait rapat dengan pengaruh rakan sebaya. Nasihat yang diberikan oeh rakan sebaya tidak matang dan rasional apabila remaja meluahkan masalah mereka. Keadaan ini berlaku kerana rakan sebaya itu sendiri belum cukup matang dan berpengalaman dalam menangani arus kehidupan yang penuh cabaran ini. Sesungguhnya, rakan sebaya yang memberikan nasihat yang tidak baik akan membawa remaja itu mengambil tindakan untuk melarikan diri.

Remaja lari dari rumah juga dianggap akibat unsur barat yang dipaparkan menerusi media massa terutama media elektronik. Remaja yang suka meniru akan melakukan perkara yang mereka tonton di televisyen tanpa sebarang keraguan lagi. Remaja tidak mampu membezakan lakonan dan realiti kehidupan yang jauh berbeza. Oleh itu, media massa menjadi faktor yang berupaya menimbulkan keinginan remaja untuk lari dari rumah mereka.

Kemelut ini turut dikaitkan dengan sahsiah remaja itu sendiri. Ramai remaja yang tidak mempunyai sikap yang tabah dan positif apabila menghadapi sesuatu kemelut yang melanda diri mereka. Remaja begitu mudah terasa atau berasa sensitif apabila ditegur oleh ibu bapa sehingga sanggup melarikan diri. Jelaslah, keadaan ini membuktikan bahawa masalah ini turut ditentukan oleh sikap remaja zaman ini yang harus lebih kukuh dan tabah.

Kesimpulannya, gejala remaj lari dari rumah ini memang harus ditangani dengan segera demi masa depan remaja kita yang semakin malap ditelan arus kemodenan dunia. Semua pihak terutama masyarakat harus memainan peranan tersendiri dalam menangani kemelut ini. Mungkin kita semua harus menyalahkan diri masing-masing sebelum kita menyalahkan remaja dalam hal ini.


http://pmrbest.blogspot.com/2008/03/karangan-remaja-lari-dari-rumahpunca.html

Belilah Batangan Buatan Malaysia

Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi.Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan.Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan, ia perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.


Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran.Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara.

CARA-CARA UNTUK MENGGALAKKAN PEMBELIAN BARANGAN BUATAN MALAYSIA:

Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan.Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini.Rakyat Malaysai perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak.Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.


Rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi memudahkan mereka membuat pilihan."Berikutan itu, Fomca dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. "Senarai itu boleh diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (Fama) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu.Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung kepada produk import.

Cara seterusnya, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan dikalangan rakyat negara ini yang turut menyimbang kepada penurunan ringgit disebabkan merek mudah memperolehi kemudahan kredit. Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang.

Seterusnya ialah peranan Media. Pihak media boleh memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media perlu bersedia membantu kerajaan dalam usaha membangunkan semangat pembelian barangan buatan Malaysia daripada segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan malaysia. Ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan.

Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru itu, semua agensi, sekto swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing.

Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan sekadar bekerja melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk-penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini.

Semua pihak; agensi kerajaan dan pihak swasta perlu memberikan keutamaan dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan mereka. Rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak- anak tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka yang setanding dengan produk import.Institusi kerajaan, swasta dan rakyat perlu mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti

Usaha Kajian dan Pembangunan (Research and Development atau R&D) perlu diberi perhatian dan galakan oleh kerajaan dan swasta. R&D tidak dapat berkembang jika hasilnya tidak diberi pengiktirafan dan kerelaan untuk mencuba pakai.Semua pihak perlu memberi galakan kepada pembangunan kemajuan sains dan teknologi terutama berhubung kait dengan pelbagai produk peralatan dan jentera yang dapat digunakan oleh rakyat negara ini. hadiah-hadiah dan peruntukan berlu disediakan kepada para pengkaji untuk mengkaji dan menghasilkan produk ciptaan tempatan.

Kesimpulannya, tabiat rakyat dan pemimpin perlu diubah. Adalah malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen belilah barangan buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen. Jika bukan kita rakyat Malaysia yang mengutamakan dan memilih barangan buatan tempatan, siapa lagi?

Dipetik dan diubahsuai daripada laman web Pusat Maklumat Rakyat
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=2646:kempen-belilah-barangan-buatan-malaysia&catid=16:isu-nasiona

Masalah Sumbang Mahram

Fenomena sumbang mahram boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang masih hangat di Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, acapkali berita tentang terjadinya sumbang mahram terhias di dada-dada akhbar. Banyak juga Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khasnya melaungkan suara-suara perjuangan mereka. Ini terutama sekali kerana mangsa yang terlibat adalah seringkali merupakan kanak-kanak perempuan atau gadis di bawah umur.

A. Definisi Sumbang Mahram

Mengikut pengertian Kamus Dewan perkataan ‘sumbang’ membawa erti ‘tidak mematuhi adat (kebiasaan, kesopanan dan lain-lain), melanggar adat, tidak sopan’. Perkataan ‘mahram’ pula adalah merupakan variasi kepada perkataan ‘muhrim’ yang membawa erti ‘laki-laki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut agama Islam’. Dalam pada itu, dari perkataan sumbang juga terdapat beberapa frasa iaitu ‘sumbang balai melintang’ yang bermaksud ‘berzina dengan orang yang tidak boleh dikahwini (pada agama dan adat). ‘Sumbang kadim’ yang bererti ‘berzina dengan keluarga yang rapat’ dan ‘sumbang pati’ juga membawa erti ‘ berzina dengan saudara sendiri’.

B. Istilah Sumbang mahram

Istilah yang dilihat dari aspek keagamaan pula “sumbang mahram adalah merupakan perhubungan jenis antara seorang lelaki dan perempuan yang dilarang bernikah oleh adat dan agama”. Selain itu, dari segi istilah juga melihat sumbang mahram adalah “pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari segi konteks Islamnya muhrim atau mahram. Pencabulan seks ini bermaksud sebarang kegiatan seksual yang tidak difahami dan tidak direlakan oleh mangsa perlakuan seks atau perlakuan seks yang melanggar norma sosial. Ia termasuklah mulut-kemaluan (oral genital), dubur-kemaluan (anal genital) iaitu liwat, kemaluan-kemaluan (genital-genital) antara orang dewasa dan kanak-kanak, onani bersama, mendedahkan kemaluan (exhibitionism) dan menggunakan kanak-kanak untuk tujuan lucah.

C. Undang-undang Berkaitan Sumbang Mahram

Mengikut Undang-Undang Sivil Malaysia, sumbang mahram didefinisikan sebagai “apabila seorang lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan orang lain di mana hubungan lelaki dan perempuan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang berkait bagi lelaki dan perempuan tersebut, untuk berkahwin dengan orang itu”. Di Mahkamah Syariah pula, Seksyen 2 Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (1997), Selangor (1995), Pulau Pinang (1996), Johor (1997) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 pula telah mentakrifkan sumbang mahram sebagai perbuatan atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan hukum syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin.

Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah (1992) untuk Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pula telah memberikan takrifan sumbang mahram sebagai perbuatan atau siri perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang diharamkan berkahwin sama ada di kalangan muabbad (haram nikah buat selama-lamanya) atau ghairu muabbad (haram nikah buat sementara).

D. Konsep Sumbang Mahram

Konsep sumbang mahram adalah berbeza-beza mengikut fahaman agama dan budaya sesuatu masyarakat itu sendiri. Jika ditinjau sepintas lalu, sumbang mahram di dalam negara seringkali menekankan kepada hubungan tidak wajar yang terjadi di antara seorang lelaki dan perempuan yang tidak boleh berkahwin menurut adat dan agama. Mangsa kejadian sumbang mahram adalah merupakan gadis-gadis atau kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja. Sementara itu, pelaku sumbang mahram adalah merupakan gadis-gadis atau kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja. Sementara itu, pelaku sumbang mahram pula adalah seringkali merupakan lelaki-lelaki yang mempunyai perhubungan yang rapat dengan mangsa. Mereka adalah termasuk bapa kandung, bapa tiri, bapa saudara, abang ipar dan juga datuk. Belum ada laporan atau siasatan yang dilakukan terhadap pesalah perempuan. Ini mungkin kerana tidak ada laporan yang dibuat berkaitan dengan kajian tersebut.


E. Faktor-Faktor Pendorong

Terdapat berbagai-bagai faktor yang dikatakan boleh mendorong kerana terjadinya perbuatan sumbang mahram ini. Faktor-faktor itu pula terbahagi kepada dua:

a) Dalaman

Faktor dalaman yang menjadi pendorong kepada terjadinya sumbang mahram, di antaranya adalah lelaki yang gagal berhubung dan menyalurkan naluri serta nafsu seks secara formal, lelaki yang kerap mengalami tekanan emosi akibat perasaan rendah diri, taksub kepada seks, keinginan seks yang tidak tercapai dengan pasangannya, pengetahuan agama yang cetek atau kurang penghayatan agama, kesibukan tugas menyebabkan tiada masa untuk pasangan dan anak-anak dan sikap kurang bertanggungjawab.

b) Luaran

Faktor luaran juga banyak memainkan peranan di dalam mempengaruhi seorang pelaku di dalam melakukan perbuatan percabulan ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah tahap ekonomi yang rendah dan keadaan rumah yang sempit, keakraban perhubungan di antara adik-beradik, keruntuhan institusi keluarga, kurang kawalan atau pemantauan ibu bapa di dalam atau di luar rumah, pengaruh negatif media, penyalahgunaan teknologi maklumat dan ada juga keadaan di mana si ibu sedar tentang apa yang terjadi tetapi tidak berdaya untuk menegahnya kerana sebab-sebabnya yang tersendiri seperti takutkan suami atau sedar tentang kesilapan dirinya yang telah mengabaikan keperluan suami dan anak-anaknya.

F. Statistik Sumbang Mahram Di Malaysia

Statistik menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja lelaki sering dicabuli di luar kawasan rumah sementara gadis dan kanak-kanak perempuan seringkali dicabuli dalam atau sekitar kawasan rumah. Namun begitu statistik yang didapati berkemungkinan adalah tidak tepat kerana terdapat kemungkinan kes-kes kejadian tidak dilaporkan atas beberapa sebab seperti diancam oleh pelaku, rasa malu kerana pandangan rendah daripada masyarakat sekeliling dan tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk melaporkan kejadian.

30% dari kes rogol adalah melibatkan perbuatan sumbang mahram dan pelaku yang paling kerap adalah ayah kandung (48%) sementara bapa tiri pula 24.4% dan pelaku pula berumur di antara 18 hingga 65 tahun. Sementara itu mangsa pula adalah merupakan gadis-gadis di antara umur 11 hingga 15 tahun dan mewakili 54.9% daripada mangsa yang terlibat. Menurut Polis Diraja Malaysia (2003), berikut adalah statistik kes sumbang mahram di antara 1997 hingga 2002:

Jadual Kes Sumbang Mahram di Malaysia

TAHUN JUMLAH KES
1997 247
1998 317
1999 275
2000 213
2001 246
2002 298

Biarpun jumlah kes yang dicatatkan masih berada di bawah angka 300, namun ia mungkin tidak menggambarkan apa sebenarnya terjadi kerana kebanyakan kes yang dilaporkan adalah yang melibatkan gadis bawah umur.

G. Kesan-Kesan Sumbang Mahram

Terdapat berbagai-bagai kesan yang akan timbul akibat dari perbuatan sumbang mahram.

a) Kesan Terhadap Mangsa

Terdapat kesan-kesan fizikal yang seringkali juga menjadi petunjuk terhadap penderaan seksual yang berlaku pada kanak-kanak tersebut. Antaranya adalah kecederaan pada kemaluan dan dubur, bengkak atau berdarah, kecederaan tubuh badan akibat dikasari, jangkitan penyakit kelamin, berat badan naik mendadak akibat ketidakseimbangan hormon atau selera makan yang berubah secara tiba-tiba, perubahan jadual tidur dan gangguan tidur di samping sering mengadu sakit perut. Terdapat juga kesan-kesan yang boleh diperhatikan dari segi tingkah laku dan perwatakan seperti perubahan emosi atau perasaan yang keterlaluan, takut kepada seseorang atau sesuatu tempat atau bersendirian, berkelakuan jauh lebih dewasa (kurang sesuai dengan umur mereka) atau berkelakuan yang terlalu kebudak-budakan ponteng sekolah dan mutu pelajaran yang merosot, melahirkan perasaan sayang dengan cara yang kurang sesuai, tidak suka disentuh, mempunyai harga diri yang rendah, gemar asingkan diri, mengelak bertentang mata dan suka bersendirian, perasaan ingin tahu terhadap seks yang amat tinggi, menunjukkan tanda kematangan yang awal serta cenderung mengajar rakan sebayanya tentang seks.

Seandainya tidak ditangani dengan sempurna, kesan dari kejadian tadi akan terbawa-bawa hingga ke peringkat remaja dan dewasa. Antara kesan-kesan yang biasa ditunjukkan adalah tingkah laku seksual yang keterlaluan seperti bertukar-tukar pasangan, perasaan dendam menyebabkan mangsa menjadi pendera kanak-kanak, terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti penagihan dadah, perubahan emosi menyebabkan mangsa sukar berhubung dengan rakan sebaya dan masyarakat sekeliling, keyakinan diri dan maruah yang rendah, rasa bersalah mendorong mangsa menyisihkan diri dan kadangkala mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri dan mengalami gangguan makan dan tidur kerana cenderung menyeksa dirinya sendiri.

b) Kesan Terhadap Masyarakat

Hasil dari perbuatan sumbang mahram kadangkala akan menyebabkan kehamilan yang tidak diingini berlaku. Oleh kerana undang-undang di Malaysia tidak mengizinkan pengguguran dilakukan, kehamilan yang tidak diingini ini akan memberikan kesan yang amat mendalam kepada ibu dan anak tadi. Antara kesan-kesan yang mungkin terjadi kepada ibu dan bayi malang tadi adalah tekanan jiwa yang teruk akan menjejaskan kandungan dan berakhir dengan kelahiran bayi cacat, bayi sering kali akan mengalami kecacatan mental yang teruk, 86% kelahiran adalah tidak cukup bulan, tidak sempurna dan kebanyakannya meninggal dunia sewaktu atau di peringkat awal kehidupan dan kecacatan genetik seperti penyakit jantung congenital, pekak-bisu dan kecacatan sistem saraf pusat, sistem dalaman tubuh serta kecacatan alat kelamin. Kebarangkalian untuk kecacatan teruk pula adalah 25%.

Selain daripada kesan-kesan terhadap kehamilan, terdapat juga kesan-kesan psikologi jangka panjang yang tidak sihat seperti percubaan membunuh diri, pcychosis yang kronik, obesiti atau anoreksia, pelacuran atau kehidupan yang dipengaruhi oleh seks, masalah personaliti termasuklah perasaan bersalah, cemas, ketakutan, murung dan kehilangan maruah diri, pengulangan perbuatan penderaan, histeria, agresif dan kecelaruan personaliti, tidak percaya kepada orang lain serta masalah penagihan dadah dan ketagihan arak yang menjurus kepada masalah kesihatan yang berkaitan.

Ini memberi kesan kepada keadaan kesihatan keseluruhan rakyat yang mana terdapat lebih ramai kelahiran cacat serta timbulnya pelbagai penyakit yang kronik. Kerajaan akan terpaksa menyalurkan lebih banyak dana untuk membendung atau membantu pesakit sedangkan sepatutnya perkara itu boleh dielakkan daripada berlaku. Keluarga juga mengalami kesan dari kejadian sumbang mahram. Antaranya ialah nama baik dan maruah keturunan yang tercemar, hina dan dicela oleh masyarakat, hilangnya perasaan sayang, hormat dan mesra sesama ahli keluarga, tidak sah taraf untuk anak yang lahir dari hubungan sumbang mahram dan lemah mental, kemungkinan nikah sesama mahram, kebajikan generasi yang dilahirkan terabai, anak yang mewarisi sifat keji ibu bapa (pelaku sumbang mahram), disisih masyarakat, menyumbang kepada masalah sosial masyarakat dan berlakunya pengabaian tanggungjawab.

Selain daripada itu, terdapat juga kesan keseluruhan terhadap masyarakat, antaranya ialah melambatkan proses pembangunan masyarakat, menjejaskan imej masyarakat Islam dan Malaysia amnya, melambatkan proses pembentukan keluarga dan masyarakat, merenggangkan hubungan kemasyarakatan, meningkatkan keruntuhan institusi keluarga di samping penambahan kepada masalah sosial sedia ada.

Akibat dari perbuatan sumbang mahram ini bukan sahaja meliputi kehilangan maruah diri, tetapi juga mengakibatkan kepada timbulnya berbagai-bagai masalah psikologi dan mental yang boleh merosakkan generasi yang akan datang. Selain dari itu, terdapat juga kesan negatif kepada ekonomi negara seperti terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar untuk program pemulihan dan pencegahan, daya pengeluaran negara terjejas kerana sumber tenaga yang lemah, membantutkan pembangunan negara serta kurangnya sumber tenaga yang berkualiti.

H. Langkah-Langkah Untuk Menangani Sumbang Mahram

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membendung kejadian sumbang mahram dari terus berleluasa. Antaranya adalah dengan memberikan kemahiran keibubapaan yang secukupnya untuk pasangan suami isteri, memberi penerangan bahawa mangsa sumbang mahram adalah tidak bersalah dan menanamkan keyakinan untuk meneruskan hidup baru, meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak dan mengawasi mereka, memberikan pendidikan seks di sekolah yang memberi penekanan kepada pengenalan bahagian badan, penjagaannya, pengawalannya dan mengenali batas perhubungan di antara lelaki dan wanita, mempraktikkan ajaran agama yang kukuh di kalangan anggota keluarga terutama sekali tentang nilai-nilai kehidupan yang patut diikuti, mengadakan pusat rujukan khidmat berterusan yang merupakan tempat di mana pasangan muda membuat rujukan tentang perkahwinan dan keibubapaan, mengadakan khutbah nikah yang khusus untuk menimbulkan keinsafan di dalam diri seorang lelaki dan peringatan tentang tanggungjawab dirinya terhadap isteri, anak-anak dan juga anak-anak tiri yang sepatutnya dilindungi olehnya, rancangan bersepadu yang membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan prasarana untuk membendung gejala-gejala sosial dari terus berleluasa. Ini termasuklah rumah berbilik tiga untuk keselesaan penduduk, sama ada yang berpendapatan rendah ataupun yang sebaliknya di samping penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan juga undang-undang untuk melindungi mangsa.

GANGSTERISME




Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja dewasa ini. Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja malahan boleh mengganggu-gugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Ia perlu ditangani kerana gengsterisme boleh mempengaruhi pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol dan rogol.

A. Sejarah Awal Gengsterisme

Penghijrahan masyarakat Cina dan India ke Malaya pada abad ke-18 dianggap sebagai titik permulaan tertubuhnya kumpulan geng di Malaysia. Migrasi masyarakat Cina terutamanya dari wilayah Kwantung dan Fukian akibat keadaan politik serta pernah menyertai aktiviti penggulingan Dinasti Manchu menyebabkan Malaya turut diresapi aktiviti ini. Mereka yang paling aktif adalah dari kumpulan Ang Bin Hoay yang cuba mendapatkan ahli melalui sistem Kapitan iaitu menyatukan ahli untuk memastikan kepentingan mereka terpelihara. Aktiviti kumpulan-kumpulan ini tidak lagi berpusatkan kepada memelihara kepentingan ahli semata-mata tetapi mula melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah seperti mencuri, membunuh dan mengancam keselamatan orang ramai untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai kumpulan berpengaruh.

Dalam kalangan masyarakat India pula, pelabelan istilah geng bermula sejak tahun 1960-an apabila ramai remaja India mula terlibat dengan aktiviti yang menjurus kepada jenayah terutama dengan pengaruh dari kumpulan etnik Cina. Ada kumpulan yang menyamai aktiviti ini seperti mendapatkan wang perlindungan manakala ada pula yang bergaduh semata-mata kerana isu wanita. Pada tahun 2000, 459 daripada 1560 buah sekolah menengah berhadapan dengan pelajar berisiko terlibat dengan gengsterisme.

B. Faktor Penyebab Gengsterisme

a) Institusi Kekeluargaan

Arus pemodenan yang pesat di dalam negara penting untuk pembangunan dan peningkatan taraf hidup tetapi sifat sesetengah ibu bapa yang lebih berkecenderungan untuk mengumpul kekayaan dan bekerja di luar rumah menyebabkan remaja ini terabai atau tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Penderitaan ini tidak difahami oleh golongan remaja walaupun mereka sedar namun sukar untuk mendapat bimbingan memandangkan kehidupan keluarga yang mendesak perlu diatasi dengan pengorbanan masa bekerja.

Ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif di dalam aktiviti gengsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggunggjawab mereka ke atas anak-anak mereka. Keadaan sosial ini boleh mempengaruhi pendidikan anak-anak dari keluarga ini. Masalah lebih rumit di kalangan keluarga yang mempunyai bapa atau ibu tunggal. Pendapatan dari pekerjaan sering tidak mencukupi dan mengharapkan ahli keluarga lain menampung perbelanjaan kehidupan. Ini berbeza dengan bapa tunggal yang lazimnya dilabel sebagai sukar memberi kasih sayang apatah lagi jika mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga. Lantaran itu, remaja ini mencari pilihan lain sebagai tempat untuk mendapatkan perhatian, misalnya di kalangan rakan-rakan.

b) Pengaruh Rakan-Rakan

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kehidupan seseorang kerana kesilapan bergaul dengan rakan-rakan yang salah boleh menyebabkan seseorang remaja terkeluar dari kehidupan yang betul malahan penngaruh kuat rakan-rakan ini akan menyebabkan sebilangannya diambil menjadi anggota kumpulan geng ini. Aktiviti mereka bersifat memberontak seperti mengganggu pengajaran guru-guru, ponteng sekolah, merosakkan harta benda sekolah, ketagihan rokok, dadah dan alkohol. Berpegang kepada ideologi kumpulan menyebabkan masing-masing menunjukkan kesetiaan kepada ahli kumpulan dan sering bersama membantu mengatasi sebarang masalah baik yang melibatkan pergaduhan, kewangan atau mempertahankan kesalahan ahli kumpulan sekiranya kegiatan mereka berjaya dikesan.


c) Kekuatan Diri Sendiri

Sikap remaja sendiri penting untuk mengelakkan diri mereka daripada terbabit di dalam gengsterisme. Mereka yang terlibat di dalam aktiviti ini adalah remaja yang masih tidak mempunyai haluan dan terkapai-kapai mencari jalan kehidupan mereka. Desakan keluarga dan kesempitan hidup boleh mendorong mereka tidak memberi perhatian sepenuhnya ke atas pendidikan mereka dan menganggap keciciran dan ponteng sekolah merupakan amalan yang biasa. Mereka hilang tumpuan kerana sikap inferioriti di kalangan mereka sendiri berbanding dengan pelajar yang rajin dan tekun berusaha. Ketiadaan ‘role model’ yang sesuai juga dianggap faktor pendorong pembabitan mereka di dalam gengsterisme.

d) Kesan Persekitaran

Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit serta pendapatan harian atau bulanan yang kecil boleh menyebabkan remaja ini lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ini jelas di kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah. Ada pula dilabel sebagai ahli sesebuah geng kerana kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gengsterisme. Ada pula yang sengaja menggunakan gelaran kawasan mereka untuk menimbulkan rasa takut di kalangan remaja di sekolah mereka. Ada ketua geng yang memberi kekuatan kepada remaja di kawasan tersebut untuk bergaduh kerana memastikan sokongan mereka serta menterjemahkan kuasa ke dalam bentuk tindakan gengsterisme.


e) Media Massa

Perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah lakuyang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi ‘role model’ bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana walaupun diakui media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya, pada waktu yang sama ia boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah terutama di kalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.




f) Sekolah

Sungguhpun sekolah bukan punca yang menyebabkan gengsterisme, tetapi sekolah boleh menjadi tempat pertemuan ketua dan ahli-ahli kumpulan ketika sebelum kelas bermula, masa rehat, masa selepas persekolahan atau ketika pelajar ponteng kelas.

g) Didikan Agama

Kekurangan didikan agama turut mendorong peningkatan aktiviti gensterisme. Secara umumnya, jika didikan agama kukuh di dalam diri individu, maka secara langsung ia boleh menghindar remaja tersebut dari terperangkap di dalam kegiatan gengsterisme. Keluarga yang kurang pendidikan ini juga boleh menyebabkan anak remaja mereka tidak terikat dengan nilai keagamaan serta pembentukan akhlak yang baik lantas terbabas ke dalam kumpulan bergeng ini.

C. Langkah Mengatasi Masalah Gengsterisme

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk membantu sekurang-kurangnya mengurangkan masalah gengtserisme kalaupun tidak dapat menghapuskannya sama sekali. Antaranya:

a) Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Walaupun masing-msing sibuk dengan pekerjaan dan kerjaya mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Usaha ini akan membolehkan tempat kunjungan mereka dikenal pasti serta apakah bentuk aktiviti atau kegiatan yang disertai oleh anak mereka. Ibu bapa yang mengambil inisiatif ini wajar mengadakan perbincangan atau diskusi dengan anak-anak mereka bukan setakat mengetahui kecenderungan mereka tetapi juga berbincang mengenai perkembangan remaja semasa supaya anak-anak mempunyai ruang untuk meluangkan pandangan dan pada waktu yang sama memahami pandangan orang tua mereka.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan guru besar, guru kelas, guru disiplin dan warden asrama. Di samping itu, sebagai satu tindak balas resiprokal, sumbangan ibu bapa boleh disalurkan melalui penglibatan di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan terbabit secara aktif di dalam aktivit di antara pelajar sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa telah dengan secara langsung menjadi idola kepada anak-anak mereka, terbabit secara langsung di dalam aktiviti bukan sahaja di rumaha tetapi juga di sekolah.

b) Peranan Sekolah

Sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengatasi kemelut gengsterisme dengan melentur masalah yang timbul dari peringkat awal lagi supaya dapat menyekat dari mempengaruhi pelajar yang lain. Sekolah boleh mengadakan hubungan langsung dengan ibu bapa terutama pelajar yang dikesan bermasalah atau disyaki terlibat dengan kumpulan gengsterisme. Sekolah boleh menganjurkan kem atau program tertentu yang berterusan untuk memerhati atau memantau kegiatan pelajar berisiko ini. Kokurikulum di sekolah juga mampu memainkan peranan besar di dalam mengadun sahsiah seseorang pelajar. Aktiviti persatuan, kelab dan organisasi beruniform perlu sentiasa diperbaharui supaya ia memenuhi citarasa pelajar yang mahu aktif dan mencuba sesuatu yang baru dan pada waktu yang sama mempertahankan pencapaian akademiknya.

c) Peranan Masyarakat

Gengsterisme mesti dilihat sebagai masalah berterusan yang melibatkan bukan hanya pemerhatian dari pihak sekolah semata-mata. Masyarakat juga boleh memainkan peranan mereka jika isu ini mahu diatasi sepenuhnya. Badan-badan luar terutama badan sosial atau organisasi beruniform boleh melibatkan diri mereka dengan sepenuhnya sebagai agen luar yang bertanggungjawab. Mereka boleh menjadi pengantara di antara sekolah dan pelajar.

d) Peranan Kerajaan

Kerajaan memain peranan penting menangani masalah gengsterisme ini. Tindakan keras perlu diambil supaya aktivitinya dapat dibendung. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya pembabitan di dalam aktiviti gengsterisme. Kesepaduan kementerian-kementerian termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengubah persepsi ke atas pelajar yang sering dilayan secara negatif kebelakangan ini akibat tindakan atau kelakuan segelintir pelajar berisiko.

e) Peranan Media

Masalah gengsterisme juga boleh diatasi jika media memainkan peranan yang lebih proaktif. Walaupun untuk menghentikan siaran yang ganas dan bersifat jenayah kurang adil untuk industri media massa, media boleh mengurangkan siaran sebegini atau sekurang-kurangnya keprihatinan media ditunjukkan melalui penayangan program yang bersifat pembentukan kepribadian remaja yang unggul. Pembabitan pelajar yang berjaya mesti ditonjolkan supaya mereka menjadi idola kepada pelajar yang lain. Rancangan-rancangan sebegini yang harus diutamakan agar remaja menonton ‘role model’ yang baik yang boleh menjadi ikutan mereka.


http://my.opera.com/karanganbm/blog/gangsterisme