Suatu
hari seorang alim yang sangat takwa kepada Allah SWT berniat untuk
pergi ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin
kepada ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan. Menurut
ibunya, “tunda dahulu keberangkatanmu sehingga tahun hadapan”. Ia merasa
bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana orang alim itu adalah
satu-satunya anak yang hidup daripada hasil perkahwinan dengan almarhum
suaminya.
Rupa-rupanya
orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk
menunaikan rukun Islam yang ke-lima. Maka, walaupun tidak mendapat restu
dari ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat menuju ke Tanah Haram.
Jelas keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha
Allah SWT bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah SWT
terletak dalam murka orang tua.
Ketika
menyaksikan anaknya yang pergi juga, si ibu yang sudah tua itu
tergopoh-gapah mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu
jauh. Dia tidak mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil sambil
berlari-lari itu. Dalam marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya
tersebut menadahkan kedua-dua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah SWT,
anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api
perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal.
Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah.”
Doa
ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya
bijaksana. Ini adalah disebabkan di antara doa-doa yang dikabulkan
adalah doa seorang ibu terhadap anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang
mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga berjalan. Pada
sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya, orang alim itu
berhenti melepaskan lelah. Menjelang Maghrib dia berangkat ke masjid dan
solat sampai Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat
dan wirid hingga larut malam.
Secara
kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa
yang menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah
seorang penduduk. Orang yang punya rumah terjaga dan bersuara. Tiba-tiba
pencuri itu terjatuh kerana terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika
terdengar bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya rumah pun
memekik-mekik sambil berkata: “pencuri! pencuri.”
Seisi
kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat
tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah
masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut. Orang-orang pun mengejar ke
sana. Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah SWT
itu.
Salah
seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: “Kita sudah
mencari di sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya
sedikitpun.”
Yang
lainnya pula berkata: “Tidak mungkin dia ditelan bumi, aku yakin dia
belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke
dalam masjid. Berkemungkinan dia bersembunyi di situ.”
Maka
orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, dekat mimbar ada
seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya lagi
orang itu ditarik keluar. Tiba di halaman masjid, orang tadi sudah
terkulai dan pengsan kerana dipukul beramai-ramai.
Penguasa
hukum di kota tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang
berat kepadanya atas desakan masyarakat yang marah. Maka orang tersebut
diikat pada tiang dan dicambuk badannya.
Keputusan
dari hakim ini jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim
seharusnya menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh
menjatuhkan keputusan berdasarkan hawa nafsu. Begitu juga walaupun
lelaki itu dituduh menodai kesucian masjid kerana bersembunyi di
dalamnya, dengan berpura-pura bersembahyang dan membaca wirid, padahal
dia adalah pencuri.
Pagi-pagi
lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan
jalannya hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya,
orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim dicambuk hingga pengsan.
Mereka tidak lagi mematuhi ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap
siapa saja, termasuk kepada pencuri yang jahat sekalipun. Darah memercik
ke sana ke mari, orang-orang kelihatan semakin puas.
Semakin
siang semakin ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri
yang terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum sebagai
pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata: “Inilah
hukuman yang setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!”
Sambil meludah muka orang alim tersebut.
Orang
yang dihukum dan dianggap pencuri ini dengan suara yang
tersendat-sendat membuka mulutnya berkata: “Tolong jangan katakan
demikian. Lebih baik beritahukanlah kepada orang ramai bahawa saya ini
adalah hamba Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak
mendapat restu dari orang tua.”
Mendengar
ucapan ini, orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan siapakah
dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan masyarakat jadi
serba salah. Akhirnya mereka terpaksa memberitahu hal itu kepada hakim.
Setelah
hakim itu datang dan tahu kedudukan perkara yang sebenarnya, maka semua
mereka menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang
soleh dan ahli ibadah. Cuma belum pernah melihat rupanya. Ibu-ibu yang
hadir serta orang tua lainnya ramai yang merasa sedih tidak dapat
menahan diri, tapi sudah tidak ada gunanya.
Malamnya,
atas permintaan orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya,
dihantarkan ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim tersebut akan
dihantar, ibunya telah berdoa: “Ya Allah, jika anakku itu telah
mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat
melihatnya.”
Begitu
selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim
itu minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan
orang yang mengantarnya itu pergi. Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak
ada orang lain, maka orang alim itupun berseru dengan suara yang pilu:
“Asalamualaikum.”
Maka
terdengarlah suara orang tua yang menjawab salamnya dari dalam.
Bergetar hati si alim mendangar suara itu: “Saya adalah musafir yang
terlantar. Tolonglah beri saya roti dan air sejuk,” kata orang alim itu
menyamar diri.
“Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkan tanganmu melalui celah pintu,” jawab suara tadi dari dalam.
“Maaf,
saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku.
Saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana
tangan saya terasa letih.”
“Jadi
bagaimana caranya?” Si ibu mengeluh kehilangan akal. “Antara kita ada
pemisah yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal,
dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan.”
“Jangan
bimbang wahai puan,” kata orang alim tersebut. “Saya tidak akan membuka
mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat
ke arah puan.”
Mendengar
jawapan itu, tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar
membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu saja
merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu lagi menahan diri. Ia
memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak
ibu yang derhaka.” Ibunya pun merasa sedih. Dipandangnya orang cacat di
mukanya itu lalu ia menjerit ternyata adalah anaknya. Mereka berdua
saling berpelukan dalam tangisan.
Ketika
itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada
Allah SWT: “Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal
atas kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak
mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah
dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan
oleh godaan iblis dengan nafsu marah.”
Kupasan:
Apabila
selesai sahaja anda membaca kisah ini, apakah yang dapat anda pelajari
daripadanya? Pada pandangan saya, pengajaran yang boleh diambil daripada
kisah ini adalah dengan melihat daripada pelbagai posisi samada kita
sebagai seorang anak, kita sebagai seorang ibu, kita sebagai seorang
hakim@pembuat keputusan atau kita sebagai masyarakat luar.
Sebagai seorang anak
Ya,
memang benar dikatakan redha Allah SWT itu bergantung kepada redha
kedua ibu bapa kita, begitu pula murka Allah SWT terletak kepada murka
mereka jua. Walau baik atau soleh mana kita sekalipun, tetapi nasihat
dan permintaan mereka harus dituruti dan diberi keutamaan selagi mana ia
tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ini
adalah disebabkan mereka insan yang sangat mulia disisi Allah SWT
kerana pengorbanan mereka yang sanggup memikul amanah Allah untuk
menjaga anak dan sanggup berkorban nyawa, tenaga, masa, wang ringgit dan
segalanya demi anak tercinta. Oleh itu, apabila kita sudah dewasa, apa
salahnya jika kita pula yang berkorban demi membahagiakan dan
menggembirakan hati mereka. Saya teringat kisah seorang sahabat yang
bertanya Rasulullah SAW tentang siapakah yang harus diberi keutamaan
diantara ibu@bapa? Maka Baginda menjawab, “Ibu”. Lalu sahabat bertanya
lagi, dan Baginda masih menjawab “Ibu”. Lalu sahabat bertanya lagi,
Baginda masih menjawab “Ibu”. Soalan yang sama ditanya buat kali ke 4,
barulah Baginda menjawab “Ayah”. Ini mempamerkan peri penting dan
tingginya darjat seorang ibu dibandingkan insan-insan yang lain. Maka
wajarlah kita menyanjungi dan menghargai ibu bapa kita. Bahagiakanlah
hati mereka dan jagalah mereka selagi mereka masih hidup.
Sebagai seorang Ibu
Demikian
juga pengajaran yang boleh diambil daripada kisah tersebut jika kita
diposisi seorang ibu. Memang ditekankan bahawa antara doa yang
dimakbulkan oleh Allah SWT adalah doa seorang ibu kepada anaknya. Oleh
itu, walau teruk atau jahat mana sekalipun anak kita, kita tidak
sepatutnya mendoakan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada
mereka. Sebaliknya biarlah kita mendoakan perkara-perkara baik agar anak
kita dilembutkan hati dan diberi petunjuk oleh Allah agar menjadi anak
yang soleh dan mendengar nasihat kedua orang tuanya.
Sebagai seorang hakim@pembuat keputusan
Apabila
berlaku sesuatu masalah atau jenayah, maka Islam mensyariatkan agar
menyelidiki dan menyiasatnya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang
tindakan. Ini adalah untuk memberi keadilan kepada pihak-pihak yang
terlibat. Oleh sebab itu, hakim atau peguam dilantik supaya hal-hal
berkaitan dapat diteliti dan diadili mengikut undang-undang samada
berkaitan hukum hudud, qisas atau ta’zir.
Sebagai masyarakat luar
Sebagai
masyarakat Islam, kita perlu bertindak dengan bijak sekiranya berlaku
sesuatu terhadap diri, keluarga, agama, masyarakat mahupun negara. Namun
begitu, tindakan yang diambil haruslah mengikut lunas-lunas yang
digariskan oleh Islam. Kita tidak boleh mengambil keputusan mengikut
hawa nafsu. Negara kita mempunyai undang-undang. Oleh itu, apabila
berlaku sesuatu kekacauan, maka serahkan hal tersebut kepada pihak
berkuasa kerana mereka lebih arif dalam hal tatatertib, bukan dengan
sewenag-wenangnya kita mengambil tindakan sendiri. Jika dilihat terhadap
kisah di atas, bukanlah tindakan yang diambil oleh masyarakat luar
telah menganiaya insan yang tidak bersalah? Fikir-fikirkanlah….
No comments:
Post a Comment