Pada
zaman dahulu ada seorang raja. Di negara jajahan takluk raja tersebut
terdapat sebatang sungai yang dipenuhi buaya. Suatu hari, raja
mengadakan pertandingan. Siapa yang dapat berenang merentas sungai
tersebut akan mendapat salah satu daripada hadiah berikut – Pertama,
mendapat wang sebanyak 1 juta ringgit. Yang kedua, dapat berkahwin
dengan puteri bongsu baginda, atau yang ketiga, dapat memerintah
keseluruhan negara tersebut.
Seluruh
rakyat pun berkumpul, tetapi tidak ada seorang pun yang berani berenang
di dalam sungai tersebut, lebih-lebih lagi setelah raja tersebut
melakukan ‘demo’ dengan meletakkan seekor ayam ke dalam sungai tersebut,
dan tidak sampai beberapa saat, hanya bulu-bulu yang berterbangan,
sedangkan ayam habis dibaham buaya-buaya yang ganas. Tunggu punya
tunggu, tiba-tiba dengan tidak semena-mena air berkocak kuat dan seorang
lelaki dilihat berenang dengan laju ke seberang sana sungai sambil
buaya-buaya mengejar beliau tanpa berhasil. Sampai ke tebing, raja
menemui lelaki tersebut yang sedang tercungap-cungap. “Tahniah,
tahniah,” kata raja. “Beta kagum dengan keberanian kamu. Apa hadiah yang
kau mahukan dari beta? Hadiah wang 1 juta?” “Ti..ti..tidak”, lelaki
tersebut menjawab dalam keadaan masih tercungap-cungap. “ Jadi kau mahu
puteri beta?” “Tidak..Ti..Tidak,” jawab lelaki itu lagi. Raja mula
kehairanan. “Jadi kau mahu memerintah Negara beta la ni?” “Tidak!”
Lelaki tersebut menjawab dengan lebih tegas. Beta dan menteri-menteri
berpandangan sesama sendiri sambil menggelengkan kepala. “Jadi apa yang
kau mahukan?” raja bertanya sedikit marah. “Aku cuma mahu tahu, siapa yang menolak aku ke dalam sungai!” lelaki tersebut menjawab!
Ketawa pelajar berderai. “Begitulah kita,” Ustaz Hafizullah menyimpulkan “kadang-kadang perlu ditolak baru hendak mengejar kejayaan.”
Pelajar tiba-tiba senyap. Tersentap agaknya. Tetapi tidak lama kemudian
keadaan mula riuh semula. Ustaz mengambil peluang membuka kisah lain;
Di
sebuah kampung tinggal seorang pemburu yang miskin bersama isterinya.
Harta yang dimiliki pemburu tersebut hanyalah sebilah kapak kayu yang
buruk. Suatu hari, pemburu tersebut berjalan-jalan di tepi sungai dengan
membawa kapak usangnya. Tiba-tiba, kapak tersebut terlepas daripada
genggamannya dan kecebur, jatuh ke dalam sungai. Pemburu tua tersebut
menangis meratap kehilangan kapak sumber rezkinya. Tiba-tiba, muncul
seorang bidadari dari dalam sungai tersebut dan menanyakan perihal
pakcik tersebut. Setelah mendengar apa yang berlaku, bidadari tersebut
menyelam ke dalam air dan tidak lama kemudian muncul semula dengan
sebilah kapak yang diperbuat daripada emas. “Inikah kapak pakcik?”
Bidadari bertanya. “Bukan!” jawab pakcik tersebut tanpa berlengah.
Bidadari menyelam semula dan muncul pula dengan kapak yang diperbuat
daripada perak. “Ini?” tanyanya semula. “Pun bukan!” pemburu menjawab.
Kali ketiga, bidadari muncul dengan kapak buruk dan using. “Jadi ini
kapak kamu?” “Ya!”ujar pemburu gembira. Bidadari tersenyum. “Disebabkan kamu jujur, saya hadiahkan kamu ketiga-tiga kapak ini,”kata bidadari. Pemburu pun pulang dengan gembira.
Tidak
lama selepas peristiwa itu, pemburu berjalan lagi di tepi sungai. Kali
ini dia ditemani oleh isterinya yang sudah tua dan nyanyuk. Tiba-tiba,
isteri pemburu tergelincir dan jatuh ke dalam sungai! Sekali lagi
pemburu menangis dan meratap kehilangan isteri sehidup sematinya,
sampailah bidadari tempohari muncul semula. Setelah menceritakan apa
yang berlaku, bidadari menyelam dan muncul tidak lama kemudian dengan
memimpin seorang wanita secantik Fasha Sanda. Belum sempat bertanya,
pemburu telah menjerit, “Ya, inilah isteri saya!!” Wajah bidadari
mencuka. “O, pasal kapak boleh jujur, pasal perempuan menipu pula!”
Ustaz berhenti seketika sebelum membuat kesimpulan tergantung “Beginilah
orang Islam, harta boleh dikorbankan dan jujur untuk agama tanpa
berfikir panjang, tetapi bab wanita dan cinta, macam-macam helah dan
alasan,” sebelum menyambung semula “tapi jangan sangka buruk dengan pakcik tua ni, dengar dulu sampai habis.”
Apa jawapan pakcik tua ni kepada bidadari? Katanya, “Jangan kau marah wahai bidadari yang mulia. Biar aku menjelaskan. Kan ke bertanya tu kunci husnuzzon?
Begini, aku takut kalau aku katakan tidak pada wanita yang secantik
Fasha Sanda ini, kau akan muncul dengan wanita secantik Erra Fazira
pula. Kemudian sekali lagi aku akan berkata tidak dan kau akan menyelam
semula dengan menyelamatkan isteriku yang sebenar. Ketika itu baru aku
akan berkata ya, ini isteriku, akan tetapi aku takut engkau akan
menghadiahkan kepadaku Fasha Sanda dan Erra sekali untuk dibawa pulang
atas sebab kejujuranku. Sesungguhnya aku telah tua dan tidak mampu lagi
menjaga mereka. Jadi, aku katakana ya awal tadi supaya kau marah dan
hanya memulangkan kepadaku isteri tua nyanyukku, kekasih awal dan
akhirku,” pemburu menjelaskan dengan panjang lebar dan sebak.
“Begitulah kisah pemburu tua, jadi apa pengajaran kedua yang kita dapat? Jangan cepat menuduh, jangan berprasangka!”
Ustaz Hafizullah menyudahi cerita, diiringi riuh-rendah pelajar
menyalahkan sesama mereka kerana telah berburuk-sangka dengan pakcik
tua...
No comments:
Post a Comment