Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman
di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam
sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak
pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi
penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan
Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau
yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan
meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan
perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan
oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah
terbaik.
Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA)
yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara
yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang
dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan
penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah
yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim
begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam
untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.
Sokongan
dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai
perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya
begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang
selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat
dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya.
Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah
menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak
keselamatan mula dilakukan dengan hebat.
Menjelang
operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu
lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari
persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau
pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita
karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg.
Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust.
Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua
dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman
salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.
Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985,
hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran
yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru
mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan.
Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’
disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam
adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan
senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar
bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang
besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.
Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada
yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki
Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan
pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan
polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui
bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat
diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov
tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di
sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat
didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama
Islam.
Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.
Keesokannya
harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus
memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang
terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis
ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya
jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta
menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin
kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak
pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.
Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah
(sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan
dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya
pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan
pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim
kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah.
Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat
menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan
Islam.
Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia
yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat
anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada
Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg.
Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan
serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak
polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang
menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.
Setelah
dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung
diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan.
Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk
kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan
anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’
berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering
digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi
kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang
menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa
itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.
Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat
anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang
dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan
balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota
polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota
polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.
Jerit
pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta
perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah
peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh
kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan
pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau
menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.
No comments:
Post a Comment