Saturday 9 June 2012

Sikap Menentukan Kejayaan Anda

Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta merta. Misalnya anda membonceng motosikal rakan. Rakan anda membawa motosikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati ditempat kejadian. Ketika itu juga anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap anda apabila membawa motosikal. Walau pun ia berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi pengalaman tersebut cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda serta merta.
Sikap anda juga berubah serta merta. Satu peristiwa mengubah segalanya. Sebenarnya untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan serta kepercayaan sememangnya perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan. Setelah anda membuat keputusan tentang perlunya berubah maka perubahan berlaku serta merta.
Masa yang panjang ini sebenarnya boleh disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang. Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh memberikannya kepada anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu juga mudahnya mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam bidangnya. Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada pada diri anda? Setiap kali guru memberikan markah ujian, cuba tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan oleh anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang terbaik? Tiada yang menghalang kecuali diri anda sendiri.
Kalau anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 – 10 tahun yang akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda, rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap sama. Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda bakal gagal pula di alam pekerjaan. Sebab itulah anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang! Ingat, Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya, “tidak akan aku ubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka ubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri”

No comments:

Post a Comment