Terima kasih saudara Pengerusi Majlis, Yang Mulia Tuan Pengetua,
Penolong Kanan, guru-guru, serta para pelajar yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak
sekolah kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ceramah yang
bertajuk “Tindakan Lari dari Rumah Bukanlah Tindakan Terbaik”.
Para hadirin sekalian,
Sejak kebelakangan ini, banyak kes remaja lari dari rumah dilaporkan.
Saban hari, pelbagai berita mengenai isu ini dipaparkan melalui media
cetak mahupun elektronik. Gejala ini kerap berlaku dalam kalangan remaja
pada peringkat umur belasan tahun. Golongan ini kerap bertindak
mengikut kata hati tanpa memikirkan impak yang bakal diterima berikutan
tindakan mereka itu.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong remaja lari dari rumah. Salah
satu faktor yang mendorong remaja lari dari rumah adalah kurangnya
didikan agama yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Hal ini menyebabkan
mereka mudah bertindak tanpa berfikir. Kelalaian ibu bapa dalam mendidik
anak-anak mereka menyebabkan remaja mudah hilang kawalan diri apabila
berhadapan dengan sesuatu masalah. Justeru, mereka meninggalkan rumah
untuk lari daripada maslaah yang mereka hadapi.
Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
Tindakan lari dari rumah bukanlah tindakan yang terbaik. Banyak
masalah lain yang akan timbul sekiranya kita mengambil tindakan
sebegini. Remaja yang lari dari rumah mudah terdedah dengan gejala
negative seperti penagihan dadah, lumba haram, mencuri dan sebagainya.
Sekiranya para remaja menghadapi masalah, mereka perlulah berbincang
dengan keluarga atau berjumpa dengan guru kaunseling bagi menyelesaikan
masalah yang dihadapi dan bukannya mengambil keputusan untuk lari dari
rumah.
Tegasnya, tindakan lari dari rumah bukanlah tindakan yang terbaik
sebaliknya akan memberikan kesan yang lebih buruk lagi. Setiap tindakan
yang bakal diambil haruslah difikirkan kesan baik buruknya tindakan
tersebut terlebih dahulu. Akhir sekali, saya mengucapkan ribuan terima
kasih kepada saudara dan saudari yang sudi mendengar ceramah saya pada
hari ini.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment