Saturday, 9 June 2012

Masalah Dalam Buah Pinggang

Buah pinggang merupakan salah satu organ yang terpenting di dalam tubuh manusia. Buah pinggang berfungsi untuk menapis darah dan memastikan jumlah air yang perlu untuk disimpan dan dibuang dari dalam tubuh. Namun begitu, keupayaan buah pinggang untuk melakukan tugas-tugas ini berkurangan seiring dengan peningkatan usia tubuh tersebut. Keberkesanan fungsinya akan diganggu lebih awal sekiranya ia tidak dipelihara dengan sempurna.
Salah satu tanda kerosakan buah pinggang yang nyata dan mudah dilihat adalah, seseorang itu mudah mengalami bengkak yang dipenuhi air di bahagian bawah buku lali. Keadaan ini menjadi semakin nyata apabila air diminum dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa.
Salah satu punca utama fungsi buah pinggang berkurangan ialah akibat kerosakan berterusan kerana paras glukos yang tinggi. Glukos memusnahkan glomeruli iaitu lebih sejuta kumpulan alat-alat penapis bersifat mikro yang mempunyai jumlah yang luas. Inilah sebabnya individu yang mengalami diabetes mudah mengalami masalah buah pinggang. Antara punca lain ialah terdapat natrium yang berlebihan di dalam darah.
Oleh sebab itu, buah pinggang yang sihat perlulah dijaga dengan cara memakan hanya makanan yang sihat dan tidak berlebihan gula, garam dan minyak di dalam makanan. Selain itu, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak kerana ia memberi nutrien dan protin yang penting untuk pertumbuhan dan kesihatan tubuh badan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment