Saturday 9 June 2012

Gejala Samseng Di Sekolah

Sejak akhir-akhir ini, gejala samseng di kalangan pelajar semakin menjadi-jadi. Seperti yang dilaporkan media massa, kegiatan samseng ini bermula pada peringkat awal dimana kegiatan membuli pelajar lain secara kecil-kecilan akan berlaku. Tetapi sewasa ini, seringkali kita mendengar mengenai kes pembulian pelajar yang berakhir dengan kematian.Ini menunjukkan, kegiatan para pelajar yang bersifat samseng kini sudah melampaui batasan dan di luar kewarasan akal fikiran dimana mereka seringkali melakukan kegiatan samseng ini tidak hanya di kawasan sekolah tetapi juga menular hingga ke luar kawasan sekolah.
Pelajar yang seringkali bersifat kaki buli di sekolah ini kebanyakannya tergolong dalam pelajar yang menuntut di tingkatan lima dimana mereka hanya membuli pelajar yang lebih muda daripada mereka sendiri. Justeru, pelajar yang menuntut di tingkatan satu hingga empat seringkali menjadi mangsa kes buli. Samseng-samseng ini akan memeras ugut pelajar yang lebih junior tanpa rasa takut mahupun bersalah dengan tujuan untuk merampas wang, bekalan makanan mahupun barang berharga yang dimiliki oleh si mangsa. Sekiranya mangsa enggan menyerahkan barang-barang yang diminta, samseng-samseng ini akan bertindak ganas dengan menumbuk atau mencederakan mereka. Justeru, pelajar yang tidak sanggup menanggung risiko dicederakan pasti akan segera menyerahkan wang atau barang yang diminta.
Mangsa pembulian yang agak berani cenderung untuk melawan dan tidak mematuhi arahan si pembuli.Ini membuatkan si pembuli merasakan bahawa dirinya tercabar. Jadi, dia akan mengumpulkan rakan-rakan yang lain untuk menyerang dan mencederakan si mangsa. Tindakan ini berisiko untuk menyebabkan kecederaan terhadap mangsa kes buli ini. Terdapat sesetengah mangsa pembulian ini yang tidak berani untuk melaporkan kes ini kepada pihak pengurusan sekolah kerana bimbang akan decederakan dengan lebih teruk dan berkemungkinan besar akan menyebabkan kematian. Namun bagi yang berani, mereka akan tampil membuat laporan. Laporan yang diberikan akan disiasat dengan lebih teliti dan mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan disiplin seperti hukuman sebat ataupun dibuang sekolah.
Dalam Hal ini, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam membanteras gejala samseng di sekolah. Antara pihak yang wajib melibatkan diri bagi kes ini adalah pihak PIBG, pihak jawatankuasa disiplin sekolah, pihak polis serta pihak keagamaan yang akan membimbing pelajar untuk balik ke jalan yang betul demi kepentingan diri mereka sendiri. Semua pihak harus memantau kegiatan salah laku di kalangan pelajar, yang mana kegiatan ini telah berleluasa dewasa ini.Pihak polis perlu berterusan mengawasi kawasan sekolah bagi mengelakkan kawasan sekolah menjadi sebuah tempat yang tidak lagi selamat bagi tujuan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment