Peribahasa ada menyebut, ‘seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing’. Peribahasa ini wujud kerana terdapat sesetengah ahli
masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Mereka hanya mahu mencari
jalan singkat untuk hidup senang, tanpa memikirkan kepentingan orang
lain. Keadaan ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat moden
hari ini yang tidak pernah mengambil berat akan orang lain. Berbeza
dengan masyarakan dahulu kala di man mereka sering mengambil berat dan
membantu jiran tetangga, rakan-rakan mahupun orang lain yang tidak
mereka kenali dengan hati yang ikhlas lagi jujur tanpa mengharapkan
balasan semata-mata.
Sebagai satu contoh situasi, bagi mereka yang merokok. Merokok jelas
tidak mendatangkan faedah daripada segi kesihatan. Jika mahu merokok
juga, tiada siapa yang mahu menegah. Namun keadaan akan lebih buruk
apabila punting rokok dibuang ke kawasan penuh dengan rumput kering.
Dengan tiupanangin yang kencang, mudahlah api menjulang. Bagi yang
bersikap prihatin, dengan kudrat yang ada,akan segera memadam api
tersebut sebelum membakar kawasan tersebut. Dengan menggunakan baldi,
air akan dicurahkan ke dalam api yang terus menjulang. Dalam keadaan
letih, cemas dan bimbang akan keselamatan diri, tentu diri akan panas
hati jika masyarakat hanya melihat sahaja tanpa ada hasrat untuk
membantu.
Situasi ini wujud kerana sesetengah ahli masyarakat akan menganggap
sesuatu kejadian itu tidak perlu dibantu, jika tidak akan membawa
malapetaka kepada diri dan keluarga. Mereka hanya tersentak dan segera
menyalahkan orang lain jika kepentingan diri tergugat. Hal ini
menunjukkan kempen mewujudkan masyarakat penyayang belum membuahkan
hasil. Jika masyarakat berterusan bersikap negatif, hasrat mewujudkan
Negara maju pada tahun 2020 tidak akan membuahkan hasil. Ini kerana,
kemajuan Negara perlu seiring dengan kemajuan kerohanian masyarakatnya.
Oleh itu, seluruh ahli masyarakat perlu mengamalkan budaya
tolong-menolong, seperti kata peribahasa ‘cubit paha kanan, paha kiri
pun sakit juga’. Jika budaya ini menjadi amalan, kemajuan negara akan
lebih pesat dan keharmonian masyarakat dapat dipertahankan.
No comments:
Post a Comment