Saturday 9 June 2012

Hak Golongan Kurang Upaya Dalam Masyarakat Sempurna

Golongan kurang upaya atau dalam kata singkatannya (OKU) merupakan golongan yang kurang sempurna atau cacat anggota badannya.Kecacatan anggota badan yang dimaksudkan meliputi kecacatan mana-mana anggota badan termasuk kaki dan tangan, lumpuh, pekak, bisu, dan buta.Manusia yang mempunyai kekurangan seperti ini cenderung untuk merasa rendah diri ketika berada di sekeliling mereka yang sempurna anggota badannya.Namun, di sebalik kekurangan yang mereka alami, mereka juga sebenarnya mempunyai hati dan perasaan yang mungkin lebih sensitive ketika berada bersama rakan sebaya yang lebih sempurna.
Sebagai manusia yang dianugerahi kesempurnaan daripada Tuhan, kita wajar membantu golongan kurang upaya ini. Pertama, kita perlu membantu mereka untuk berdikari agar kehdupan mereka tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Berdikari yang dimaksudkan termasuklah mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan setaraf dengan tahap pendidikan yang dimiliki oleh orang di sekeliling mereka. Dengan tahap pendidikan yang mencukupi, golongan kurang upaya ini juga mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama golongan yang lebih sempurna.
Selain itu, kita juga perlu memberi mereka peluang untuk mengembangkan minat dan keupayaan mereka sendiri.Sebagai contoh, mungkin ada di antara mereka yang berminat untuk menceburi bidang sukan. Lalu, dalam keghairahan menganjurkan kejohanan yang dicanangkan boleh mengharumkan nama Negara, golongan ini juga perlu diberi peluang untuk menyertai kejohanan tersebut. Mereka yang berbakat besar dalam bidang sukan perlulah dikenalpasti , dilatih dan diketengahkan dalam Kejohanan Paralimpik.
Golongan kurang upaya ini juga mempunyai sifat rendah diri dan menganggap takdir telah menghukum mereka. Maka kita sewajarnya memberi mereka semangat untuk bangun menghadapi rintangan dengan kekuatan seperti kata peribahasa “genggam bara api biar sampai jadi arang”. Keyakinan ini membolahkan mereka untuk keluar daripada kepompong hidup mereka yang asyik menyalahkan takdir semata-mata.
Pada waktu yang sama, majikan juga hendaklah memberi ruang kepada golongan kurang upaya ini untuk menunjukkan kemampuan dan kebolehan yang mereka miliki. Jika ada antara majikan yang sanggup menggaji mereka, sudah tentu hidup mereka akan terjamin dan keyakinan diri mereka juga pasti meningkat dari semasa ke semasa. Ini juga secara tidak langsung mengurangkan kadar pengemis yang terdapat di Negara ini.
Oleh itu, golongan kurang upaya juga haruslah menjadi masyarakat yang maju dan serba boleh.Dengan sedikit inisiatif dan keyakinan, mereka juga pasti boleh menjadi masyarakat yang berdaya maju, setaraf dengan masyarakat sempurna yang lainnya.

No comments:

Post a Comment