Saturday 9 June 2012

Kelemahan Teknologi Maklumat dan Kaedah Menanganinya

Era globalisasi yang melanda dunia tidak akan lengkap tanpa kewujudan perkembangan teknologi maklumat. Tidak dinafikan bahawa terknologi maklumat akan memberikan bentuk baru pada corak kehidupan manusia. Penyebaran maklumat secara besar-besaran sudah tentu akan membawa kita menuju peradaban elektronik. Hal ini disebabkan teknologi komunikasi ini akan membawa kita kepada perkembangan yang berkaitan dengan pelbagai cara menerima dan menyampaikan maklumat seperti gambar, bunyi dan nombor yang diaplikasikan secara elektronik.
Dengan itu, teknologi maklumat menggabungkan komputer telekomunikasi supaya dapat membentuk sistem-sistem bagi mengurus maklumat. Namun, sistem ini tidak terlepas daripada ancaman yang boleh mendatangkan impak buruk kepada semua pihak.
Ancaman yang dihadapi oleh pengguna teknologi maklumat datangnya daripada penggodam komputer, iaitu orang yang boleh mendatangkan ancaman kepada komputer dan sistem rangkaiannya. Mereka akan cuba menyalahgunakan kemudahan ini untuk kepentingan sendiri. Namun begitu, terdapat golongan penggodam komputer yang menjalankan aktiviti khianat sebagai salah satu keseronokan semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk yang akan menimpa pihak lain.
Sebahagian penggodam komputer yang lain pula menjalankan aktiviti tersebut untuk menceroboh sistem rangkaian komputer dan mencuri data penting. Selain itu, ada di kalangan mereka juga menghantar virus bagi mengganggu sistem rangkaian komputer hingga menyebabkan kerosakan serius.
Di samping itu, kelebihan yang terdapat pada teknologi maklumat kini diperalat dengan mudah oleh pengganas dan kartel dadah. Mereka menyalahgunakan kecanggihan teknologi ini untuk menjalankan kegiatan yang mampu melumpuhkan masyarakat. Kita sedia maklum bahawa zaman maklumat semakin menghapuskan zaman perindustrian dan zaman pertanian, manakala globalisasi pula menerobos setiap penjuru dunia, sedangkan keselamatan merupakan satu agenda utama dan penting.
Tambahan pula, maklumat ialah bahan yang sangat berkuasa untuk menubuhkan atau menggulingkan sesebuah kerajaan dengan memperalat komputer dan rangkaiannya. Oleh sebab itu, keselamatan pada zaman maklumat masih lagi diragui lantaran wujudnya aktivis-aktivis tanpa sempadan ini yang dapat mengganggu sistem keselamatan.
Teknologi maklumat kini telah dieksploitasi dengan begitu rakus untuk mencapai pelbagai tujuan. Menerusinya, teknologi canggih internet ini telah digunakan untuk melaksanakan pelbagai jenayah tradisional dalam bentuk moden seperti memeras ugut, menipu, dan menyebarkan fitnah.
Fenomena ini amat menyedihkan kerana teknologi yang dibangunkan bersama-sama dengan arus kemodenan ini telah digunakan untuk merosakkan kehidupan manusia. Sekalipun dari sudut lain, teknologi maklumat membawa kemajuan dan kebaikan dalam hidup manusia, namun kewujudannya menghadapi pelbagai ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.


 http://mindasasterabahasa.com/2011/07/kelemahan-teknologi-maklumat-dan-kaedah-menanganinya.html

No comments:

Post a Comment