Saturday 9 June 2012

Sebab-Sebab Kita Patut Berjimat Cermat dan Halangan Untuk Melaksanakannya

Apabila mempunyai pendapatan yang lebih atau mendapat durian runtuh samada pendapatan itu ialah bonus tahunan, paling tidak simpanan yang kian meningkat, sesetengah orang merasakan bahawa pada masa itu dia mempunyai wang berlebihan atau menjadikannya seolah-olah orang kaya baru. Kita tidak menafikan bahawa seseorang itu boleh membelanjakan wang itu sesukahatinya kerana wang itu adalah haknya. Walau bagaimanapun, harus diingat juga, selain diri sendiri, kita perlu memikirkan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.
Dalam kehidupan ini sebenarnya banyak perkara yang menuntut perbelanjaan san memerlukan wang untuk menyelesaikannya seperti kereta rosak, bekalan dapur kehabisan, paip pecah dan sebagainya yang berupa tuntutan di luar jangkaan yang mesti diatasi segera. Sehubungan dengan perkara itu, kita hendaklah berhati-hati dengan tuntutan di luar jangkaan.
Seseorang yang bijaksana akan mengambil langkah menimbang tara kepentingan keperluannya berbelanja mengikut keupayaan. Perbelanjaan yang terancang membolehkan seseorang itu mengurus perbelanjaan mengikut kemampuan kewangannya. Oleh sebab itu, cara yang paling baik agar kita tidak selalu berhadapan dengan kesesakan kewangan atau sebelum tiba musim kering adalah dengan menyisihkan 20 peratus pendapatan dan menyimpan wang itu di bank.
Wang yang disimpan itu dapat digunakan untuk membiayai keperluan pengajian tinggi anak-anak di universiti tempatan atau luar negeri agar pada masa itu kita tidak perlu menagih bantuan ke sana ke mari. Hal ini mesti dirancang dengan teliti lagipun pada masa ini, kos pendidikan semakin tinggi berbanding dengan keadaannya pada sedekad yang lalu. Selain itu, hendaklah diingat bahwa wang yang disimpan itu dapat digunakan untuk keperluan perbelanjaan perubatan pada masa sekarang  dan pada hari tua nanti.
Satu perkara yang harus diingat, jangan gunakan tabungan itu sehingga hamper meranapkan jumlah simpanan kerana perkara ini akan menjadilkan seseorang itu miskin semula. Dengan sebab itu, jika wang tabungan itu digunakan, maka haruslah dicari jalan untuk menggantikannya semula.
Bagi sesetengah orang, berbelanja adalah untuk memenuhi gaya hidup hari ini yang banyak menjurus kepada kebendaan. Pelbagai dorongan akan mendesak seseorang berbelanja di luar kawalan, misalnya kemudahan yang dimiliki termasuklah penggunaan kad kredit.
Seseorang yang berjaya mengekang nafsunya dan berbelanja untuk tujuan yang perlu sahaja sudah pasti berjaya mengurus kewangannya. Jika perkara yang sebaliknya terjadi, maka iklim kewangannya tetap berada pada takuk yang lama dan tabungannya juga sukar meningkat.

No comments:

Post a Comment