Saturday 9 June 2012

Kelebihan Menjadi Usahawan Berjaya dan Halangannya

Kemunculan sebagai usahawan yang berjaya menjadi impian banyak orang tetapi pada hakikatnya bukan semua individu berupaya menjadi usahawan. Apakah faktor sebenarnya yang menggerakkan seseorang itu menjadi usahawan? Bagaimanakah motif berniaga dan menjadi usahawan itu muncul? Apakah pula hambatan yang ada dalam dunia keusahawanan? Pertanyaan-pertanyaan sebegini kerap timbul dalam minda seseorang apabila dilihatnya kejayaan yang dicapai oleh seseorang usahawan. Pada umumnya, usahawan itu akan membangunkan perusahaan sendiri dengan satu alas an iaitu, ‘keinginan tentang kekuasaan’. Mereka yakin bahawa dengan mempunyai kuasa, mereka dapat melakukan segala-galanya dengan lebih lancar dan lebih efektif serta berjaya.
Kuasa yang dimaksudkan itu sebenarnya mencerminkan bahawa keusahawanan memberi mereka kebebasan bertindak dan membuat keputusan kendiri, yakni kebebasan mengawal diri, mengatur waktu, dan mengatur aktiviti-aktiviti perniagaan sendiri berbanding dengan bekerja di pejabat. Pada pendapat mereka, bekerja di pejabat rutin hariannya membosankan, birokrasinya panjang dan kaku, dan suasana kerja yang tidak selesa.
Golongan usahawan pula berpegang pada prinsip bahawa usahawan yang berjaya mampu meningkatkan taraf hidup dan rasa hormat masyarakat kepadanya serta keluarganya. Masyarakat memandang tinggi apabila meluhat seseorang yang menjalankan urus niaga tersebut berjaya dalam kerjayanya. Oleh sebab itu, motif lain yang mendorong seseorang menceburi dunia keusahawanan adalah untuk mendapatkan rasa hormat diri, sekaligus meningkatkan imej sosialnya.
Banyak usahawan yang memiliki perniagaan sendiri tidak perlu memikirkan elemen kenaikan pangkat atau gaji. Sebaliknya, faktor keuntungan dan kerugianlah yang menjadi pertaruhan mereka. Sehubungan dengan itu, mereka mempunyai pertimbangan samada mampu atau tidak perniagaan itu dikendalikan dengan baik dan menguntungkan ataupun sebaliknya. Andainya perniagaan yang diusahakan menemui kegagalan, mereka tidak berputus asa, sebaliknya mereka memikirkan tindakan alternative untuk memulihkannya.
Hal inilah yang menjadi keistimewaan sebagai usahawan. Semangat keusahawanan mengatasi segala semangat bekerja, mereka dapat memikirkan alternatif yang terbaik untuk mengatasi kegagalan yang dihadapi. Semangat begini berbeza daripada pekerja makan gaji, iaitu masa bekerja telah ditetapkan, selepas itu, mereka tidak perlu lagi memikirkan masalah yang timbul di pejabat dan tidak perlu mencari kaedah untuk mengatasi masalah.
Penjelasan di atas sudah cukup untuk kita memahami keistimewaan menjadi usahawan. Perkara yang dinyatakan itu dapat mendorong seseorang memberanikan diri meneroka bidang keusahawanan dan perlu menghayati peranannya sebagai usahawan. Untuk menceburi dunia keusahawanan, seseorang itu memerlukan keberanian, kekuatan, dan kepercayaan diri yang tinggi di samping motivasi diri yang kental.

No comments:

Post a Comment