Setiap pelajar sudah pasti mempunyai hasrat untuk menjadi pelajar
yang cemerlang dalam pelajaran mereka. Oleh kerana mereka tidak
mempunyai wang ringgit untuk membalas jasa ibu bapa mereka, maka hadiah
yang paling bererti merupakan kecermelangan dalam setiap peperiksaan
sebagai salah satu cara untuk membalas jasa mereka.
Untuk cemerlang dalam pelajaran,setiap pelajar perlu sentiasa memberi
tumpuan sewaktu guru mengajar. Ketika guru mengajar, mereka seharusnya
mengetepikan segala masalah yang tidak berkaitan dengan pelajaran.
Sekiranya tidak memahami apa yang telah diajar, mereka tidak perlu
berasa segan untuk bertanya. Tamatnya sesi persekolahan tidak bermakna
sesi pembelajaran juga turut tamat. Sebaliknya, mereka juga harus segera
membuat latihan. Jika kerja sekolah sudah selesai, ulangkaji sendiri
tanpa disuruh, mereka tidak seharusnya bersikap bagai pahat dengan
penukul. Bila disuruh barulah dibuat.
Selain itu, alternatif lain untuk meningkatkan prestasi pelajar di
kelas juga perlulah dilaksanakan. Kelas tambahan amat berfaedah untuk
menambahkan pemahaman akan sesuatu matapelajaran. Di kelas, jumlah
pelajar yang banyak menyebabkan guru tidak mampu memberi perhatian yang
lebih. Dengan jumlah murid yang sedikit di kelas tambahan, para pelajar
lebih berpeluang untuk bersoal jawab sekaligus meningkatkan pemahaman
mereka sendiri terhadap pelajaran yang diajar..
Pemakanan yang seimbang amat penting kepada tubuh badan mereka.
Sekiranya minda mereka cergas, mereka tidak akan mudah mengantuk di
dalam kelas dan pelajaran juga mudah untuk difahami. Elakkanlah makan
makanan yang ringan dan memudaratkan, tetapi lebihkanlah memakan
buah-buahan dan meminum air kosong.
Sebagai seorang pelajar, para Guru dan ibu bapa perlulah dihormati
agar keberkatan dalam pelajaran mudah untuk diperolehi ketika belajar.
Sebelum ke sekolah, mereka perlulah mencium tangan ibu dan ayah untuk
memohon restu. Di sekolah pula, budi bahasa juga perlu dijaga, jangan
sampai guru jauh hati. Sebaik-baiknya, sikap ringan tulang untuk
membantu guru seharusnya diamalkan.
Demikianlah serba sedikit ciri-ciri untuk menjadi seorang pelajar
yang cemerlang. Sebenarnya, mentimun dan pisau berada di tangan kita,
jadi kitalah yang sewajarnya mencorakkan nasib kita sendiri dan bukannya
orang lain. Oleh itu, berusahalah membalas jasa orang yang kita sayangi
itu dengan menjadi murid yang cemerlang. Tetapi, jangan pula menjadi
seperti kacang lupakan kulit bila sudah berjaya kelak.
No comments:
Post a Comment