Kita sering mendengar cerita dan terbaca kisah yang berkaitan dengan
keracunan makanan. Selain itu, berdasarkan pengalaman sendiri, mungkin
banyak daripada kita yang mengalami keracunan makanan. Semenjak Januari
hingga Ogos tahun lalu, terdapat sebanyak 13 kes keracunan makanan yang
melibatkan 801 orang yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Daripada jumlah tersebut, 601 orang mangsa ialah pelajar sekolah.
Sewajarnya, masalah ini dipandang serius lebih-lebih lagi dari segi
perundangan, Negara ini mempunyai Akta Makanan 1983 yang bertujuan untuk
melindungi orang ramai daripada bahaya penipuan dalam penyediaan,
penjualan, dan penggunaan makanan.
Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah
seseorang itu memakan makanan yang tercemar. Tanda-tandanya termasuklah
rasa mual, muntah, cirit-birit, pening-pening serta gangguan perut.
Kebanyakan kes keracunan makanan disebabkan oleh bacteria, mikro
organisma, virus, racun atau toksin, dan bahan-bahan kimia. Selain
elemen di atas, keracunan makanan juga melibatkan kewujudan bacteria
dalam makanan dan proses penyediaan makanan yang kotor serta tidak
dimasak dengan sempurna.
Oleh sebab itu, penyedia makanan hendaklah membasuh tangan dengan
teliti sebelum atau selepas mengendalikan makanan bagi mengelakkan
pencemaran bakteria salmonella atau bakteria lain. Selain itu, peralatan
dapur seperti alat pemotong perlu dibasuh dengan air panas terutama
sekali alas pemotong daging.
Dalam penyediaan makanan, pengendalian yang tidak teliti akan
menggalakkan bakteria mencemari makanan.Dalam hal ini, beberapa contoh
kecuaian yang dikenal pasti termasuklah penyimpanan daging, ayam, dan
ikan di tempat yang tidak cukup dingin, dan makanan beku yang dibiarkan
cair pada suasana panas yang terlalu lama. Pencemaran bacteria berlaku
juga pada buah-buahan serta sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan baik.
Tanda-tanda khusus kerancunan makanan bergantung pada jenis bacteria
atau organismanya.
Antara contohnya termasuklah cholera yang disebabkan oleh bacteria
vibro cholera yang terdapat pada ikan, kerang, kupang, dan siput yang
tercemar. Selain elemen yang dinyatakan di atas, keracunan makanan ada
kalanya berkaitan dengan cendawan beracun atau buah-buahan dan
sayur-sayuran yang dicemari oleh racun serangga yang tinggi kadar
kepekatannya.
Apabila mengambil makanan yang terdiri daripada bijiran, seseorang
itu tidak boleh mengambil mudah tentang makanan yang dimakannya. Dalam
banyak kes, toksin daripada kulat, iaitu aflatoksin yang terdapat pada
bijiran juga merupakan salah satu punca keracunan makanan. Sehubungan
dengan itu, sekalipun kebanyakan makanan selamat dimakan, namun
seseorang itu hendaklah berhati-hati semasa mengambil makanan agar
mereka tidak menjadi mangsa keracunan makanan samada secara sengaja
ataupun tidak.
No comments:
Post a Comment