Ramai yang beranggapan bahawa masa itu emas. Tanggapan tersebut
sememangnya bertepatan dengan nilai masa itu sendiri. Ini kerana masa
yang berlalu tidak akan kembali lagi. Oleh itu, seseorang itu seharusnya
bijak membahagikan masa mereka. Kejayaan seseorang itu banyak
bergantung kepada cara memanfaatkan masa yang terluang. Tuhan telah
memberikan kita masa selama 24 jam sehari dan diri kitalah yang diberi
tanggungjawab untuk memperuntukkan masa tersebut dengan aktiviti yang
berfaedah.
Bagi para remaja yang masih menuntut di bangku persekolahan, adalah
wajar sekiranya mereka memanfaatkan masa lapang yang mereka miliki
dengan mengulangkaji pelajaran. Cara ini dapat mempercepatkan proses
pembelajaran di kelas. Ini kerana, latihan latih tubi yang berterusan
sahaja tidak mampu untuk mengekalkan ingatan pelajar terhadap pelajaran
yang diajar. Sebaliknya, dengan ulangkaji yang berterusan, seseorang
pelajar itu akan sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan sebenar.
Selain mengulangkaji pelajaran, seseorang pelajar juga perlu untuk
melakukan aktiviti riadah dan juga senaman agar tubuh mereka tidak
menjadi lesu dan tidak bermaya. Aktiviti riadah ringan seperti
berjoging, bermain badminton dan bermain bola sepak sahaja sudah
mencukupi untuk meningkatkan metabolisma seseorang agar kekal sihat dan
cergas sepanjang masa. Selain itu, aktiviti yang dilakukan juga dapat
menyihatkan tubuh badan dan membuatkan tubuh badan sentiasa bertenaga
dalam melalui hari-hari yang mendatang.
Selain mengulang kaji pelajaran dan melakukan aktiviti riadah,
melakukan aktiviti berpersatuan juga adalah perlu untuk mengisi masa
lapang yang terluang. Persatuan-persatuan seperti Persatuan Bulan Sabit
Merah, Persatuan Bahasa Malaysia, Kadet Bomba Sekolah, dan juga Kelab
Alam Sekitar merupakan antara persatuan yang wajar disertai oleh para
pelajar bagi mengisi masa yang terluang dalam kehidupan seharian mereka.
Dengan adanya penglibatan para pelajar dalam aktiviti berpersatuan
seperti ini, maka tidaklah mereka mempunyai masa terluang yang banyak
sehinggakan mereka mengisi masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang
tidak berfaedah seperti merokok, melepak, menagih dadah, dan banyak
lagi.
Sebagai kesimpulan, memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti yang
berfaedah amatlah perlu terutama dalam kalangan anak-anak remaja yang
masih mengalami zaman peralihan sehinggakan mereka mudah terpengaruh
dengan gejala-gejala yang tidak sihat dewasa ini. Oleh itu, semua pihak
terutama pihak ibu bapa dan guru seharusnya memberi perhatian yang
mencukupi bagi golongan remaja yang masih memerlukan perhatian,
kasihsayang, bimbingan dan juga sokongan dari ibu bapa demi menentukan
hala tuju hidup mereka.
No comments:
Post a Comment