Sunday 10 June 2012

Faktor-Faktor Warga Emas Menanggung Risiko Penggunaan Ubat-Ubatan dan Langkah Menanganinya

Penggunaan ubat-ubatan dalam kalangan warga emas sering mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan para pengkaji dari seluruh dunia. Hal ini disebabkan golongan tersebut memerlukan perhatian yang rapi kerana berdepan dengan risiko ubat-ubatan yang digunakan berbanding dengan golongan muda. Secara umun nya, pada peringkat usia yang melebihi 60 tahun, proses penuaan mempengaruhi fungsi normal organ-organ di dalam badan manusia.
Hati dan buah pinggang merupakan dua organ terpenting bagi proses metabolisme dan perkumuhan ubat-ubatan di dalam badan manusia. Keberkesanan organ-organ ini semakin menurun dalam kalangan warga emas. Hati dan buah pinggang mereka sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi dengan baik. Penurunan keberkesanan fungsi hati ini akan menyebabkan pengumpulan berlebihan sesetengah ubat di dalam badan mereka. Selain itu, fungsi buah pinggang yang tidak normal juga mempunyai masalah penyingkiran ubat-ubatan.
Pengumpulan berlebihan dan penyingkiran yang berkurang ubat-ubat akan mengakibatkan peningkatan paras ubat-ubatan yang tidak normal di dalam badan seseorang. Apabila proses penuaan ini berterusan, ada sesetengah sel di dalam badan akan menjadi semakin sensitif terhadap sebatian kimia yang terkandung dalam ubat-ubatan seperti sel-sel di dalam sistem otak dan sistem saraf. Hal seumpama ini akan meningkatkan risiko kesan sampingan ubat-ubatan kepada warga emas.
Penggunaan pelbagai jenis ubat pada suatu masa juga berisiko tinggi mengalami kesan infeksi ubat-ubatan. Bagi golongan usia yang sedang meniti senja, masalah ini tidak dapat dielakkan  kerana mereka sering menghidapi penyakit kronik. Oleh yang demikian, mereka terpaksa mengambil pelbagai jenis ubatan yang berbeza-beza pada waktu yang sama bagi merawat penykit-enyakit tersebut sekali gus meningkatkan paras ubat dalam badan. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2008 mendapati hampir 65% warga emas yang dimasukkan ke hospital terdedah pada sekurang-kurangnya satu kesan infeksi ubat-ubatan.
Di samping itu, golongan warga emas tidak mengambil ubat-ubatan mengikut saranan doktor atau ahli farmasi. Masalah ini timbul bukan sahaja disebabkan penyakit nyanyuk, malah berpunca daripada kekeliruan terhadap ubat-ubatan yang diberikan. Tambahan pula, mereka terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat pada masa yang berbeza. Sesetengah ubat tersebut perlu diambil dengan cara yang berbeza. Antaranya termasuklah ubat itu diambil sebelum dan selepas makan. Tidak kurang juga tablet yang terpaksa diletakkan di bawah lidah dan bukan dimakan seperti kebiasaannya.

No comments:

Post a Comment