Saturday 9 June 2012

Aids : Segalanya Mengenai Aids (dalam Fakta)

AIDS bermaksud “Acquired Immuno-deficiency Syndrome”. AIDS merupakan peringkat terakhir daripada spektrum jangkitan HIV di mana sistem daya ketahanan badan melawan kuman-kuman jangkitan telah dilumpuhkan oleh virus HIV.
AIDS adalah singkatan bagi Acquired Immune Deficiency Syndrome iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit.
  • Acquired - bermaksud jangkitan yang dipindahkan dari seorang individu kepada lain individu dan bukan diperolehi dari keturunan
  • Immunodeficiency – Menerangkan keadaan di mana keupayaan semula jadi badan melindungi dirinya dari penyakit-penyakit dan jangkitan telah sangat lemah dan tidak lagi boleh melindungi dirinya dari jangkitan dan berbagai jenis barah.
  • Syndrome - Membayangkan gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala berpunca dari sebab/keadaan atau gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala dalam satu kombinasi tertentu sebagai gambaran klinikal satu-satu penyakit.
AIDS disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai HIV (Human Immunodeficiency Virus). HIV menyerang dan melemahkan sistem pertahanan badan manusia iaitu pertahanan semula jadi badan terhadap semua jenis jangkitan. Ia lambat-laun akan memusnahkan keupayaan semula jadi badan untuk melawan jangkitan dan sesetengah jenis kanser. AIDS merupakan penyakit yang paling serius terjadi akibat jangkitan HIV. Bagi mereka yang menghidap AIDS, jangkitan dan penyakit yang biasanya tidak merbahaya boleh mengancam nyawa seperti jangkitan opportunistic berpunca dari mikrob yang lazimnya tidak menyebabkan penyakit pada orang sihat.
Kriteria yang digunakan untuk mentakrifkan AIDS adalah merangkumi semua orang yang dijangkiti HIV yang mempunyai bilangan sel CD4 +T kurang daripada 200. Sel ini juga dikenali sebagai sel T4. Sel T4 ialah ‘pejuang’ utama dalam sistem pertahanan badan yang melawan penyakit. Orang dewasa yang sihat selalunya mempunyai 1000 atau lebih sel T4.
Sindrom AIDS
Istilah AIDS adalah merujuk kepada peringkat jangkitan HIV yang paling lanjut. Gejala-gejala yang lebih teruk mungkin tidak akan muncul dalam tempoh satu dekad atau lebih selepas HIV mula-mula menjangkiti badan mangsa. Penyakit HIV akan bertukar menjadi AIDS apabila sistem pertahanan badan terjejas teruk dan pelbagai komplikasi mula timbul. Kebanyakan keadaaan yang membentuk AIDS adalah akibat jangkitan yang bersifat opportunistic (iaitu merujuk kepada jangkitan mikroorganisma yang biasanya tidak menyebabkan penyakit pada orang sihat) seperti:
  • Jangkitan paru-paru yang dicirikan oleh batuk, sesak nafas dan sakit dada (contohnya, pneumonia dan tuberkulosis pulmonari atau miliari akut).
  • Cirit-birit yang teruk dan berterusan.
  • Jangkitan pada otak atau kanser yang dicirikan oleh kekeliruan, demam, sawan, kehilangan penglihatan, sakit kepala yang teruk dan loya.
  • Berat badan menyusut dengan teruk.
  • CMV (sitomegalovirus), sejenis jangkitan yang biasanya menyerang mata.
  • Kandida-sejenis jangkitan fungus yang menyebabkan seriawan (lapisan keputihan nipis dalam mulut) atau jangkitan dalam tekak atau faraj.
  • Mereka yang menghidap AIDS amat cenderung mendapat pelbagai jenis kanser seperti Sarkoma Kaposi, sejenis kanser kulit yang dicirikan oleh bintil atau tompok-tompok ungu/merah jambu yang timbul pada kulit; atau kanser sistem pertahanan badan yang dikenali sebagai limfoma.
Komplikasi
Oleh kerana pesakit AIDS telah mengalami kelumpuhan fungsi sistem imun, mereka lebih mudah jatuh sakit berbanding dengan mereka yang memiliki tindak balas imun yang sihat. Komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku ialah:
  • Pneumocystis carinii pneumonia (sejenis penyakit radang paru-paru), yang boleh membawa maut. Penyakit ini memusnahkan paru-paru pesakit AIDS
  • Cytomegalovirus retinitis merupakan penyakit mata berkaitan AIDS yang serius dan boleh menyebabkan buta.
  • Sarkoma Kaposi merupakan kanser berkaitan AIDS yang menyebabkan ketumbuhan/tumor pada kulit. Ia berwarna merah jambu atau ungu.
  • AIDS wasting syndrome melibatkan penurunan berat badan yang ketara, cirit-birit yang kronik atau rasa lemah dan demam yang berpanjangan atau berkala selama sekurang-kurangnya 30 hari
Adakah terdapat penawar untuk AIDS?
Sehingga kini belum ditemui sebarang vaksin untuk melawan HIV atau sebarang ubat yang boleh menyembuhkan AIDS. Bagaimanapun, terdapat ubat yang boleh memperlahankan perebakan HIV di dalam badan dan kerosakan sistem pertahanan badan.
Terdapat jenis ubat-ubatan lain yang boleh mencegah atau merawat sesetengah jenis jangkitan opportunistic. Risiko penularan HIV daripada wanita hamil kepada janinnya dapat dikurangkan dengan banyak sekiranya ubat tertentu diberi kepada ibu semasa hamil, semasa pelahiran dan bersalin dan juga diberi kepada bayi semasa 6 minggu pertama hayatnya. Sarkoma Kaposi atau kanser yang lain pula boleh dirawat dengan radiasi dan kemoterapi.

No comments:

Post a Comment