Saturday 9 June 2012

Punca Kahwin Lari Antara Wanita Tempatan Dengan Warga Asing

Kes yang melibatkan trend kahwin lari dalam kalangan wanita muda tempatan dengan warga asing semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mereka sanggu meredah Laut China Selatan semata-mata untuk membuktikan cinta sejati kepada pasangan tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi pada kemudian hari.
Statistik kes Orang Hilang dan Jumpa Seluruh Malaysia yang dikeluarkan oleh PDRM menunjukkan bahawa pada tahun 2007 ( Januari hingga April ), sebanyak 681 orang wanita muda tempatan disahkan hilang. Daripada jumlahitu, hanya 302 orang berjaya ditemui semula. Kebanyakan wanita muda tempatan yang terjebak dalam kes kahwin lari dengan warga asing ini dipengaruhi oleh pujuk rayu pasangannya. Bagi wanita muda yang mengalami masalah kepincangan keluarga dan dahagakan kasih sayang, mereka mudah terpengaruh dengan pujuk rayu pasangan mereka.
Selain itu, sikap wanita muda tempatan yang cenderung mencari ‘kelainan’ dalam memilih pasangan hidup turut menjadi punca mereka terjebak dengankes kahwin lari ini. Kebanyakan mereka ini berasa bangga dengan rakan-rakan jika dapat memikat hati pasangan warga asing terutama dari Pakistan,Afrika, atau Indonesia. Di samping itu, punca berlakunya kes ini juga disebabkan oleh sikap wanita muda yang berasa bahawa mereka mempunyai hak untuk menentukan hala tuju hidup mereka sendiri. Nasihat ibu bapa, rakan-rakan, mahupun guru tidak diendahkan. Apa yang lebih penting, mereka sudah menemui kekasih hati yang sanggup menghulurkan cinta dan menjadi tempat untuk mereka mengadu.
Hakikatnya, niat kedatangan warga asing ke Negara ini diibaratkan seperti serampang dua mata. Selain mencari rezeki, mereka juga ingin mendapatkan status Penduduk Tetap (PR). Seperti yang tertakluk dalam prosedur memiliki status PR, seseorang warga asing layak mendapat status PR jika mereka mengahwini gadis tempatan. Jadi, akhirnya banyak wanita muda tempatan yang menjadi mangsa.
Kerajaan dan rakyat sedang giat berganding bahu bagi membanteras masalah ini. Paling penting, maklumat awal dan kempen kesedaran dari semasa ke semasa wajar diberikan kepada wanita muda tempatan berkaitan isu ini. Manakala ibu bapa pula seharusnya lebih sensitif dan peka terhadap perihal anak-anak. Komunikasi yang berkesan dan pemupukan kasih sayang antara ahli keluarga secara tidak langsung dapat membantu menangani masalah sosial anak-anak. Sementara itu, wanita muda sendiri perlulah mempunyai kesedaran diri dan memikirkan kesan negatif yang bakal ditanggung oleh mereka dalam melakukan sesuatu perkara.

No comments:

Post a Comment