ari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis
rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun
berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911
berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah
kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana
53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.
Ini
jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops
Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika
angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti
penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi.
Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang
akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.
Pada tahun
lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang
motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di
kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan
semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh
seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai
lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.
Sepanjang
bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan
sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk
pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat
semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang
menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal.
Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih
memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa.
Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak
mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari
raya di rumah kawan.
Kita semua sedia maklum apabila remaja ini
berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka
lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan
seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi
ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah
kemalangan maut yang tinggi.
Kenapakah ibubapa begitu mudah
membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan
remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai
kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama
diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu
berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan
lalu lintas jalanraya.
Saya masih ingat kepada satu peristiwa
yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih
belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan
pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih
terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar
bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi
ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota
polis telah mengarahkan dia berhenti.
Bagi mengelakkan ditahan
polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri.
Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta
yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri
kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah
kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil
senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta
bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.
Menurut
adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa
kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat
supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak
polis lagi.
Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar
peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang
itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan
peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja
sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?
Technorati Tags: nukilan, azhad, remaja, motosikal, kemalangan
No comments:
Post a Comment