Sunday 29 April 2012

Akademik Nasyid

Nuffnang Ads
Program realiti Akademi Nasyid yang diperkenalkan TV9 dilihat mampu melahirkan satu kelompok penggiat irama nasyid global atau universal. Secara tidak langsung melalui program ini, irama nasyid tanah air akan berkembang dan mampu bersaing seperti mana irama pop, balada, R&B, rock, jazz dan hip hop.

uji bakat berakhir 8 Jun
Program yang memaparkan kelainan daripada program realiti sedia ada bersesuaian dengan imej TV9 sebagai stesen televisyen yang menjurus kepada program berunsur Islam serta menerapkan nilai murni kepada penonton.

Selama ini, banyak stesen mencari bakat hiburan bagi penyanyi yang boleh membawa lagu berbentuk pop rock, balada, etnik kreatif dan hip hop. Kami berusaha ingin memberi ruang yang lebih luas kepada genre nasyid di mana nasyid juga adalah sesuatu yang universal.

Akademi Nasyid akan menampakkan bahawa sesebuah nasyid itu bukan terbelenggu dengan muzik lama dan sempit, tetapi Akademi Nasyid akan memaparkan kepelbagaiannya dari kontemporari ke puisi acapella dan sebagainya.

Apa yang penting dan diutamakan juga ialah mesej melalui lirik yang baik, kreatif, segar, menginsafkan dan memberi peringatan serta pengajaran.

Pihak TV9 yakin rancangan realiti Akademi Nasyid ini pasti mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton kerana rancangan itu dapat melahirkan ramai lagi bakat baru dalam muzik nasyid kontemporari yang berunsurkan ketuhanan dan kemanusiaan, sekali gus dengan adanya rancangan itu ia dapat mempopularkan lagi muzik nasyid di negara ini.

TV9 kini membuka penyertaan kepada penggemar irama ini untuk tampil menunjukkan bakat mereka pada sesi uji bakat yang bakal diadakan di enam lokasi.

Pihak TV9 percaya ramai anak-anak muda yang berbakat sama ada perseorangan atau kumpulan di luar sana menanti peluang ini dan menyeru mereka tampil untuk menunjukkan bakat mereka dalam Akademi Nasyid.

Penyertaan dibuka kepada semua yang berminat sama ada secara solo mahupun berkumpulan yang tidak melebihi lima orang setiap kumpulan dan menepati syarat penyertaan seperti berikut, warga negara Malaysia yang berumur 18 sehingga tidak melebihi 35 tahun.

Penyertaan secara berkumpulan mestilah kumpulan jantina yang sama. Kumpulan lelaki atau kumpulan perempuan dan peserta mestilah bertaraf amatur serta tidak pernah menandatangani kontrak rakaman album dengan mana-mana syarikat rakaman.

Bagi kemudahan peserta disediakan tujuh lagu yang boleh dipilih oleh peserta semasa sesi uji bakat seperti Intifada (Rabbani), Permata (Kopratasa), Al-Iktiraf (Raihan), Permaidani (Aris Ariwatan), Doa (Rahimah Rahim), Sesungguhnya (Raihan) dan Berita Kepada Kawan (Akil Hayy).

Peserta akan melalui tiga peringkat uji bakat sebelum layak menyertai Akademi Nasyid yang bakal disiarkan stesen ini bermula 1 Jun dan berakhir 30 Ogos sebanyak 11 episod.

Pada masa yang sama, pihak TV9 juga akan mengadakan roadshow sehari sebelum sesi uji bakat yang diadakan di setiap lokasi yang ditujui.

No comments:

Post a Comment