Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.
Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.
Bencana
alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan
penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau
dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini
mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan
cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada
banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang
boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.
Kejadian
bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama
kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan
dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan
kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air
dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan
mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan
hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.
Malahan,
keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong
berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan
kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak
mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak
berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam
berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa
mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan
projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi
perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak
menjejaskan sistem ekologi secara drastik.
Tambahan pula, sikap
kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan
pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering
mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional
perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua
sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang
menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana
alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan
sumber alamnya dengan baik.
Sudah pasti langkah yang paling
penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan
alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan
kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi
pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha
pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam
pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah
ini mampu diselesaikan dengan mudah.
Malahan, kempen kesedaran
terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan
itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang
bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen
yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi
masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi
terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan
lebih baik.
Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di
negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam
bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi
semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap
kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa
manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti
alam?
http://pmrbest.blogspot.com/2008/03/karangan-bencana-alampunca-punca-dan.html
No comments:
Post a Comment