Sunday 29 April 2012

Kembali Ke Rumahmu

(buat Pak dan Ibu Darwis)
Semua seperti dulu
meja tulis bekas pensel
almari pakaian jendela dan tali penyidai
sarung baru dibasuh
aku kembali ke rumahmu
Senyuman terhampar di kaca
dakapan anak-anak suami tercinta
terdengar dentingan piring
air menggelegak di cerek
menyediakan air mandi suami
nasi mengembang di tungku
cawan segera ditata
kau sudah sedia untuk hari pertama
tugas seorang isteri
biar kau bijak di kampus
bercanda dan bergosip dengan teman-teman
tapi diam-diam menyimpan kesakitan
di lipatan senyum dan kerdip mata
aku mengutip rahsia
letih dan jenuh seorang isteri.
Kubuka almari
kusentuh sisa kebaya
batik dan selendang
kepingan gambar
memang payah melupa masa lalu.
Dentingan piring
mkanan rapi di meja
bonda baru melayani,
dia yang mengerti
terdengar bisiknya
“ senang menerima kunjunganmu
kerana sehabat lama ibu “
Kupetik haruman taman
Berderaian canda putera-puterimu
segar berdoa
merelakan yang pergi
kau tetap di hati.
Siti Zainon Ismail
 Darussalam , April 2002


No comments:

Post a Comment