Friday 13 April 2012

Masalah Sumbang Mahram

Fenomena sumbang mahram boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang masih hangat di Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, acapkali berita tentang terjadinya sumbang mahram terhias di dada-dada akhbar. Banyak juga Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khasnya melaungkan suara-suara perjuangan mereka. Ini terutama sekali kerana mangsa yang terlibat adalah seringkali merupakan kanak-kanak perempuan atau gadis di bawah umur.

A. Definisi Sumbang Mahram

Mengikut pengertian Kamus Dewan perkataan ‘sumbang’ membawa erti ‘tidak mematuhi adat (kebiasaan, kesopanan dan lain-lain), melanggar adat, tidak sopan’. Perkataan ‘mahram’ pula adalah merupakan variasi kepada perkataan ‘muhrim’ yang membawa erti ‘laki-laki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut agama Islam’. Dalam pada itu, dari perkataan sumbang juga terdapat beberapa frasa iaitu ‘sumbang balai melintang’ yang bermaksud ‘berzina dengan orang yang tidak boleh dikahwini (pada agama dan adat). ‘Sumbang kadim’ yang bererti ‘berzina dengan keluarga yang rapat’ dan ‘sumbang pati’ juga membawa erti ‘ berzina dengan saudara sendiri’.

B. Istilah Sumbang mahram

Istilah yang dilihat dari aspek keagamaan pula “sumbang mahram adalah merupakan perhubungan jenis antara seorang lelaki dan perempuan yang dilarang bernikah oleh adat dan agama”. Selain itu, dari segi istilah juga melihat sumbang mahram adalah “pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari segi konteks Islamnya muhrim atau mahram. Pencabulan seks ini bermaksud sebarang kegiatan seksual yang tidak difahami dan tidak direlakan oleh mangsa perlakuan seks atau perlakuan seks yang melanggar norma sosial. Ia termasuklah mulut-kemaluan (oral genital), dubur-kemaluan (anal genital) iaitu liwat, kemaluan-kemaluan (genital-genital) antara orang dewasa dan kanak-kanak, onani bersama, mendedahkan kemaluan (exhibitionism) dan menggunakan kanak-kanak untuk tujuan lucah.

C. Undang-undang Berkaitan Sumbang Mahram

Mengikut Undang-Undang Sivil Malaysia, sumbang mahram didefinisikan sebagai “apabila seorang lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan orang lain di mana hubungan lelaki dan perempuan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang berkait bagi lelaki dan perempuan tersebut, untuk berkahwin dengan orang itu”. Di Mahkamah Syariah pula, Seksyen 2 Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (1997), Selangor (1995), Pulau Pinang (1996), Johor (1997) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 pula telah mentakrifkan sumbang mahram sebagai perbuatan atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan hukum syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin.

Seksyen 2 Enakmen Jenayah Syariah (1992) untuk Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pula telah memberikan takrifan sumbang mahram sebagai perbuatan atau siri perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang diharamkan berkahwin sama ada di kalangan muabbad (haram nikah buat selama-lamanya) atau ghairu muabbad (haram nikah buat sementara).

D. Konsep Sumbang Mahram

Konsep sumbang mahram adalah berbeza-beza mengikut fahaman agama dan budaya sesuatu masyarakat itu sendiri. Jika ditinjau sepintas lalu, sumbang mahram di dalam negara seringkali menekankan kepada hubungan tidak wajar yang terjadi di antara seorang lelaki dan perempuan yang tidak boleh berkahwin menurut adat dan agama. Mangsa kejadian sumbang mahram adalah merupakan gadis-gadis atau kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja. Sementara itu, pelaku sumbang mahram adalah merupakan gadis-gadis atau kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja. Sementara itu, pelaku sumbang mahram pula adalah seringkali merupakan lelaki-lelaki yang mempunyai perhubungan yang rapat dengan mangsa. Mereka adalah termasuk bapa kandung, bapa tiri, bapa saudara, abang ipar dan juga datuk. Belum ada laporan atau siasatan yang dilakukan terhadap pesalah perempuan. Ini mungkin kerana tidak ada laporan yang dibuat berkaitan dengan kajian tersebut.


E. Faktor-Faktor Pendorong

Terdapat berbagai-bagai faktor yang dikatakan boleh mendorong kerana terjadinya perbuatan sumbang mahram ini. Faktor-faktor itu pula terbahagi kepada dua:

a) Dalaman

Faktor dalaman yang menjadi pendorong kepada terjadinya sumbang mahram, di antaranya adalah lelaki yang gagal berhubung dan menyalurkan naluri serta nafsu seks secara formal, lelaki yang kerap mengalami tekanan emosi akibat perasaan rendah diri, taksub kepada seks, keinginan seks yang tidak tercapai dengan pasangannya, pengetahuan agama yang cetek atau kurang penghayatan agama, kesibukan tugas menyebabkan tiada masa untuk pasangan dan anak-anak dan sikap kurang bertanggungjawab.

b) Luaran

Faktor luaran juga banyak memainkan peranan di dalam mempengaruhi seorang pelaku di dalam melakukan perbuatan percabulan ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah tahap ekonomi yang rendah dan keadaan rumah yang sempit, keakraban perhubungan di antara adik-beradik, keruntuhan institusi keluarga, kurang kawalan atau pemantauan ibu bapa di dalam atau di luar rumah, pengaruh negatif media, penyalahgunaan teknologi maklumat dan ada juga keadaan di mana si ibu sedar tentang apa yang terjadi tetapi tidak berdaya untuk menegahnya kerana sebab-sebabnya yang tersendiri seperti takutkan suami atau sedar tentang kesilapan dirinya yang telah mengabaikan keperluan suami dan anak-anaknya.

F. Statistik Sumbang Mahram Di Malaysia

Statistik menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja lelaki sering dicabuli di luar kawasan rumah sementara gadis dan kanak-kanak perempuan seringkali dicabuli dalam atau sekitar kawasan rumah. Namun begitu statistik yang didapati berkemungkinan adalah tidak tepat kerana terdapat kemungkinan kes-kes kejadian tidak dilaporkan atas beberapa sebab seperti diancam oleh pelaku, rasa malu kerana pandangan rendah daripada masyarakat sekeliling dan tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk melaporkan kejadian.

30% dari kes rogol adalah melibatkan perbuatan sumbang mahram dan pelaku yang paling kerap adalah ayah kandung (48%) sementara bapa tiri pula 24.4% dan pelaku pula berumur di antara 18 hingga 65 tahun. Sementara itu mangsa pula adalah merupakan gadis-gadis di antara umur 11 hingga 15 tahun dan mewakili 54.9% daripada mangsa yang terlibat. Menurut Polis Diraja Malaysia (2003), berikut adalah statistik kes sumbang mahram di antara 1997 hingga 2002:

Jadual Kes Sumbang Mahram di Malaysia

TAHUN JUMLAH KES
1997 247
1998 317
1999 275
2000 213
2001 246
2002 298

Biarpun jumlah kes yang dicatatkan masih berada di bawah angka 300, namun ia mungkin tidak menggambarkan apa sebenarnya terjadi kerana kebanyakan kes yang dilaporkan adalah yang melibatkan gadis bawah umur.

G. Kesan-Kesan Sumbang Mahram

Terdapat berbagai-bagai kesan yang akan timbul akibat dari perbuatan sumbang mahram.

a) Kesan Terhadap Mangsa

Terdapat kesan-kesan fizikal yang seringkali juga menjadi petunjuk terhadap penderaan seksual yang berlaku pada kanak-kanak tersebut. Antaranya adalah kecederaan pada kemaluan dan dubur, bengkak atau berdarah, kecederaan tubuh badan akibat dikasari, jangkitan penyakit kelamin, berat badan naik mendadak akibat ketidakseimbangan hormon atau selera makan yang berubah secara tiba-tiba, perubahan jadual tidur dan gangguan tidur di samping sering mengadu sakit perut. Terdapat juga kesan-kesan yang boleh diperhatikan dari segi tingkah laku dan perwatakan seperti perubahan emosi atau perasaan yang keterlaluan, takut kepada seseorang atau sesuatu tempat atau bersendirian, berkelakuan jauh lebih dewasa (kurang sesuai dengan umur mereka) atau berkelakuan yang terlalu kebudak-budakan ponteng sekolah dan mutu pelajaran yang merosot, melahirkan perasaan sayang dengan cara yang kurang sesuai, tidak suka disentuh, mempunyai harga diri yang rendah, gemar asingkan diri, mengelak bertentang mata dan suka bersendirian, perasaan ingin tahu terhadap seks yang amat tinggi, menunjukkan tanda kematangan yang awal serta cenderung mengajar rakan sebayanya tentang seks.

Seandainya tidak ditangani dengan sempurna, kesan dari kejadian tadi akan terbawa-bawa hingga ke peringkat remaja dan dewasa. Antara kesan-kesan yang biasa ditunjukkan adalah tingkah laku seksual yang keterlaluan seperti bertukar-tukar pasangan, perasaan dendam menyebabkan mangsa menjadi pendera kanak-kanak, terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti penagihan dadah, perubahan emosi menyebabkan mangsa sukar berhubung dengan rakan sebaya dan masyarakat sekeliling, keyakinan diri dan maruah yang rendah, rasa bersalah mendorong mangsa menyisihkan diri dan kadangkala mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri dan mengalami gangguan makan dan tidur kerana cenderung menyeksa dirinya sendiri.

b) Kesan Terhadap Masyarakat

Hasil dari perbuatan sumbang mahram kadangkala akan menyebabkan kehamilan yang tidak diingini berlaku. Oleh kerana undang-undang di Malaysia tidak mengizinkan pengguguran dilakukan, kehamilan yang tidak diingini ini akan memberikan kesan yang amat mendalam kepada ibu dan anak tadi. Antara kesan-kesan yang mungkin terjadi kepada ibu dan bayi malang tadi adalah tekanan jiwa yang teruk akan menjejaskan kandungan dan berakhir dengan kelahiran bayi cacat, bayi sering kali akan mengalami kecacatan mental yang teruk, 86% kelahiran adalah tidak cukup bulan, tidak sempurna dan kebanyakannya meninggal dunia sewaktu atau di peringkat awal kehidupan dan kecacatan genetik seperti penyakit jantung congenital, pekak-bisu dan kecacatan sistem saraf pusat, sistem dalaman tubuh serta kecacatan alat kelamin. Kebarangkalian untuk kecacatan teruk pula adalah 25%.

Selain daripada kesan-kesan terhadap kehamilan, terdapat juga kesan-kesan psikologi jangka panjang yang tidak sihat seperti percubaan membunuh diri, pcychosis yang kronik, obesiti atau anoreksia, pelacuran atau kehidupan yang dipengaruhi oleh seks, masalah personaliti termasuklah perasaan bersalah, cemas, ketakutan, murung dan kehilangan maruah diri, pengulangan perbuatan penderaan, histeria, agresif dan kecelaruan personaliti, tidak percaya kepada orang lain serta masalah penagihan dadah dan ketagihan arak yang menjurus kepada masalah kesihatan yang berkaitan.

Ini memberi kesan kepada keadaan kesihatan keseluruhan rakyat yang mana terdapat lebih ramai kelahiran cacat serta timbulnya pelbagai penyakit yang kronik. Kerajaan akan terpaksa menyalurkan lebih banyak dana untuk membendung atau membantu pesakit sedangkan sepatutnya perkara itu boleh dielakkan daripada berlaku. Keluarga juga mengalami kesan dari kejadian sumbang mahram. Antaranya ialah nama baik dan maruah keturunan yang tercemar, hina dan dicela oleh masyarakat, hilangnya perasaan sayang, hormat dan mesra sesama ahli keluarga, tidak sah taraf untuk anak yang lahir dari hubungan sumbang mahram dan lemah mental, kemungkinan nikah sesama mahram, kebajikan generasi yang dilahirkan terabai, anak yang mewarisi sifat keji ibu bapa (pelaku sumbang mahram), disisih masyarakat, menyumbang kepada masalah sosial masyarakat dan berlakunya pengabaian tanggungjawab.

Selain daripada itu, terdapat juga kesan keseluruhan terhadap masyarakat, antaranya ialah melambatkan proses pembangunan masyarakat, menjejaskan imej masyarakat Islam dan Malaysia amnya, melambatkan proses pembentukan keluarga dan masyarakat, merenggangkan hubungan kemasyarakatan, meningkatkan keruntuhan institusi keluarga di samping penambahan kepada masalah sosial sedia ada.

Akibat dari perbuatan sumbang mahram ini bukan sahaja meliputi kehilangan maruah diri, tetapi juga mengakibatkan kepada timbulnya berbagai-bagai masalah psikologi dan mental yang boleh merosakkan generasi yang akan datang. Selain dari itu, terdapat juga kesan negatif kepada ekonomi negara seperti terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar untuk program pemulihan dan pencegahan, daya pengeluaran negara terjejas kerana sumber tenaga yang lemah, membantutkan pembangunan negara serta kurangnya sumber tenaga yang berkualiti.

H. Langkah-Langkah Untuk Menangani Sumbang Mahram

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membendung kejadian sumbang mahram dari terus berleluasa. Antaranya adalah dengan memberikan kemahiran keibubapaan yang secukupnya untuk pasangan suami isteri, memberi penerangan bahawa mangsa sumbang mahram adalah tidak bersalah dan menanamkan keyakinan untuk meneruskan hidup baru, meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak dan mengawasi mereka, memberikan pendidikan seks di sekolah yang memberi penekanan kepada pengenalan bahagian badan, penjagaannya, pengawalannya dan mengenali batas perhubungan di antara lelaki dan wanita, mempraktikkan ajaran agama yang kukuh di kalangan anggota keluarga terutama sekali tentang nilai-nilai kehidupan yang patut diikuti, mengadakan pusat rujukan khidmat berterusan yang merupakan tempat di mana pasangan muda membuat rujukan tentang perkahwinan dan keibubapaan, mengadakan khutbah nikah yang khusus untuk menimbulkan keinsafan di dalam diri seorang lelaki dan peringatan tentang tanggungjawab dirinya terhadap isteri, anak-anak dan juga anak-anak tiri yang sepatutnya dilindungi olehnya, rancangan bersepadu yang membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan prasarana untuk membendung gejala-gejala sosial dari terus berleluasa. Ini termasuklah rumah berbilik tiga untuk keselesaan penduduk, sama ada yang berpendapatan rendah ataupun yang sebaliknya di samping penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan juga undang-undang untuk melindungi mangsa.

No comments:

Post a Comment