Fenomena sumbang mahram boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang masih
hangat di Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, acapkali
berita tentang terjadinya sumbang mahram terhias di dada-dada akhbar.
Banyak juga Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan juga Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khasnya melaungkan
suara-suara perjuangan mereka. Ini terutama sekali kerana mangsa yang
terlibat adalah seringkali merupakan kanak-kanak perempuan atau gadis di
bawah umur.
A. Definisi Sumbang Mahram
Mengikut
pengertian Kamus Dewan perkataan ‘sumbang’ membawa erti ‘tidak mematuhi
adat (kebiasaan, kesopanan dan lain-lain), melanggar adat, tidak sopan’.
Perkataan ‘mahram’ pula adalah merupakan variasi kepada perkataan
‘muhrim’ yang membawa erti ‘laki-laki dan perempuan yang diharamkan
berkahwin menurut agama Islam’. Dalam pada itu, dari perkataan sumbang
juga terdapat beberapa frasa iaitu ‘sumbang balai melintang’ yang
bermaksud ‘berzina dengan orang yang tidak boleh dikahwini (pada agama
dan adat). ‘Sumbang kadim’ yang bererti ‘berzina dengan keluarga yang
rapat’ dan ‘sumbang pati’ juga membawa erti ‘ berzina dengan saudara
sendiri’.
B. Istilah Sumbang mahram
Istilah yang dilihat
dari aspek keagamaan pula “sumbang mahram adalah merupakan perhubungan
jenis antara seorang lelaki dan perempuan yang dilarang bernikah oleh
adat dan agama”. Selain itu, dari segi istilah juga melihat sumbang
mahram adalah “pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga
di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari segi konteks
Islamnya muhrim atau mahram. Pencabulan seks ini bermaksud sebarang
kegiatan seksual yang tidak difahami dan tidak direlakan oleh mangsa
perlakuan seks atau perlakuan seks yang melanggar norma sosial. Ia
termasuklah mulut-kemaluan (oral genital), dubur-kemaluan (anal genital)
iaitu liwat, kemaluan-kemaluan (genital-genital) antara orang dewasa
dan kanak-kanak, onani bersama, mendedahkan kemaluan (exhibitionism) dan
menggunakan kanak-kanak untuk tujuan lucah.
C. Undang-undang Berkaitan Sumbang Mahram
Mengikut
Undang-Undang Sivil Malaysia, sumbang mahram didefinisikan sebagai
“apabila seorang lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan
orang lain di mana hubungan lelaki dan perempuan itu adalah tidak
dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang
berkait bagi lelaki dan perempuan tersebut, untuk berkahwin dengan
orang itu”. Di Mahkamah Syariah pula, Seksyen 2 Akta/Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (1997), Selangor (1995), Pulau
Pinang (1996), Johor (1997) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Takzir) 2001 pula telah mentakrifkan sumbang mahram sebagai perbuatan
atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan hukum syarak di
antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin.
Seksyen
2 Enakmen Jenayah Syariah (1992) untuk Negeri Sembilan, Perak dan
Sarawak pula telah memberikan takrifan sumbang mahram sebagai perbuatan
atau siri perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di antara
seorang lelaki dan seorang perempuan yang diharamkan berkahwin sama ada
di kalangan muabbad (haram nikah buat selama-lamanya) atau ghairu
muabbad (haram nikah buat sementara).
D. Konsep Sumbang Mahram
Konsep
sumbang mahram adalah berbeza-beza mengikut fahaman agama dan budaya
sesuatu masyarakat itu sendiri. Jika ditinjau sepintas lalu, sumbang
mahram di dalam negara seringkali menekankan kepada hubungan tidak wajar
yang terjadi di antara seorang lelaki dan perempuan yang tidak boleh
berkahwin menurut adat dan agama. Mangsa kejadian sumbang mahram adalah
merupakan gadis-gadis atau kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja.
Sementara itu, pelaku sumbang mahram adalah merupakan gadis-gadis atau
kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja. Sementara itu, pelaku
sumbang mahram pula adalah seringkali merupakan lelaki-lelaki yang
mempunyai perhubungan yang rapat dengan mangsa. Mereka adalah termasuk
bapa kandung, bapa tiri, bapa saudara, abang ipar dan juga datuk. Belum
ada laporan atau siasatan yang dilakukan terhadap pesalah perempuan. Ini
mungkin kerana tidak ada laporan yang dibuat berkaitan dengan kajian
tersebut.
E. Faktor-Faktor Pendorong
Terdapat
berbagai-bagai faktor yang dikatakan boleh mendorong kerana terjadinya
perbuatan sumbang mahram ini. Faktor-faktor itu pula terbahagi kepada
dua:
a) Dalaman
Faktor dalaman yang menjadi pendorong
kepada terjadinya sumbang mahram, di antaranya adalah lelaki yang gagal
berhubung dan menyalurkan naluri serta nafsu seks secara formal, lelaki
yang kerap mengalami tekanan emosi akibat perasaan rendah diri, taksub
kepada seks, keinginan seks yang tidak tercapai dengan pasangannya,
pengetahuan agama yang cetek atau kurang penghayatan agama, kesibukan
tugas menyebabkan tiada masa untuk pasangan dan anak-anak dan sikap
kurang bertanggungjawab.
b) Luaran
Faktor luaran juga
banyak memainkan peranan di dalam mempengaruhi seorang pelaku di dalam
melakukan perbuatan percabulan ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah
tahap ekonomi yang rendah dan keadaan rumah yang sempit, keakraban
perhubungan di antara adik-beradik, keruntuhan institusi keluarga,
kurang kawalan atau pemantauan ibu bapa di dalam atau di luar rumah,
pengaruh negatif media, penyalahgunaan teknologi maklumat dan ada juga
keadaan di mana si ibu sedar tentang apa yang terjadi tetapi tidak
berdaya untuk menegahnya kerana sebab-sebabnya yang tersendiri seperti
takutkan suami atau sedar tentang kesilapan dirinya yang telah
mengabaikan keperluan suami dan anak-anaknya.
F. Statistik Sumbang Mahram Di Malaysia
Statistik
menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja lelaki sering dicabuli di
luar kawasan rumah sementara gadis dan kanak-kanak perempuan seringkali
dicabuli dalam atau sekitar kawasan rumah. Namun begitu statistik yang
didapati berkemungkinan adalah tidak tepat kerana terdapat kemungkinan
kes-kes kejadian tidak dilaporkan atas beberapa sebab seperti diancam
oleh pelaku, rasa malu kerana pandangan rendah daripada masyarakat
sekeliling dan tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk melaporkan
kejadian.
30% dari kes rogol adalah melibatkan perbuatan
sumbang mahram dan pelaku yang paling kerap adalah ayah kandung (48%)
sementara bapa tiri pula 24.4% dan pelaku pula berumur di antara 18
hingga 65 tahun. Sementara itu mangsa pula adalah merupakan gadis-gadis
di antara umur 11 hingga 15 tahun dan mewakili 54.9% daripada mangsa
yang terlibat. Menurut Polis Diraja Malaysia (2003), berikut adalah
statistik kes sumbang mahram di antara 1997 hingga 2002:
Jadual Kes Sumbang Mahram di Malaysia
TAHUN JUMLAH KES
1997 247
1998 317
1999 275
2000 213
2001 246
2002 298
Biarpun
jumlah kes yang dicatatkan masih berada di bawah angka 300, namun ia
mungkin tidak menggambarkan apa sebenarnya terjadi kerana kebanyakan kes
yang dilaporkan adalah yang melibatkan gadis bawah umur.
G. Kesan-Kesan Sumbang Mahram
Terdapat berbagai-bagai kesan yang akan timbul akibat dari perbuatan sumbang mahram.
a) Kesan Terhadap Mangsa
Terdapat
kesan-kesan fizikal yang seringkali juga menjadi petunjuk terhadap
penderaan seksual yang berlaku pada kanak-kanak tersebut. Antaranya
adalah kecederaan pada kemaluan dan dubur, bengkak atau berdarah,
kecederaan tubuh badan akibat dikasari, jangkitan penyakit kelamin,
berat badan naik mendadak akibat ketidakseimbangan hormon atau selera
makan yang berubah secara tiba-tiba, perubahan jadual tidur dan gangguan
tidur di samping sering mengadu sakit perut. Terdapat juga kesan-kesan
yang boleh diperhatikan dari segi tingkah laku dan perwatakan seperti
perubahan emosi atau perasaan yang keterlaluan, takut kepada seseorang
atau sesuatu tempat atau bersendirian, berkelakuan jauh lebih dewasa
(kurang sesuai dengan umur mereka) atau berkelakuan yang terlalu
kebudak-budakan ponteng sekolah dan mutu pelajaran yang merosot,
melahirkan perasaan sayang dengan cara yang kurang sesuai, tidak suka
disentuh, mempunyai harga diri yang rendah, gemar asingkan diri,
mengelak bertentang mata dan suka bersendirian, perasaan ingin tahu
terhadap seks yang amat tinggi, menunjukkan tanda kematangan yang awal
serta cenderung mengajar rakan sebayanya tentang seks.
Seandainya
tidak ditangani dengan sempurna, kesan dari kejadian tadi akan
terbawa-bawa hingga ke peringkat remaja dan dewasa. Antara kesan-kesan
yang biasa ditunjukkan adalah tingkah laku seksual yang keterlaluan
seperti bertukar-tukar pasangan, perasaan dendam menyebabkan mangsa
menjadi pendera kanak-kanak, terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat
seperti penagihan dadah, perubahan emosi menyebabkan mangsa sukar
berhubung dengan rakan sebaya dan masyarakat sekeliling, keyakinan diri
dan maruah yang rendah, rasa bersalah mendorong mangsa menyisihkan diri
dan kadangkala mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri dan mengalami
gangguan makan dan tidur kerana cenderung menyeksa dirinya sendiri.
b) Kesan Terhadap Masyarakat
Hasil
dari perbuatan sumbang mahram kadangkala akan menyebabkan kehamilan
yang tidak diingini berlaku. Oleh kerana undang-undang di Malaysia tidak
mengizinkan pengguguran dilakukan, kehamilan yang tidak diingini ini
akan memberikan kesan yang amat mendalam kepada ibu dan anak tadi.
Antara kesan-kesan yang mungkin terjadi kepada ibu dan bayi malang tadi
adalah tekanan jiwa yang teruk akan menjejaskan kandungan dan berakhir
dengan kelahiran bayi cacat, bayi sering kali akan mengalami kecacatan
mental yang teruk, 86% kelahiran adalah tidak cukup bulan, tidak
sempurna dan kebanyakannya meninggal dunia sewaktu atau di peringkat
awal kehidupan dan kecacatan genetik seperti penyakit jantung
congenital, pekak-bisu dan kecacatan sistem saraf pusat, sistem dalaman
tubuh serta kecacatan alat kelamin. Kebarangkalian untuk kecacatan teruk
pula adalah 25%.
Selain daripada kesan-kesan terhadap
kehamilan, terdapat juga kesan-kesan psikologi jangka panjang yang tidak
sihat seperti percubaan membunuh diri, pcychosis yang kronik, obesiti
atau anoreksia, pelacuran atau kehidupan yang dipengaruhi oleh seks,
masalah personaliti termasuklah perasaan bersalah, cemas, ketakutan,
murung dan kehilangan maruah diri, pengulangan perbuatan penderaan,
histeria, agresif dan kecelaruan personaliti, tidak percaya kepada orang
lain serta masalah penagihan dadah dan ketagihan arak yang menjurus
kepada masalah kesihatan yang berkaitan.
Ini memberi kesan
kepada keadaan kesihatan keseluruhan rakyat yang mana terdapat lebih
ramai kelahiran cacat serta timbulnya pelbagai penyakit yang kronik.
Kerajaan akan terpaksa menyalurkan lebih banyak dana untuk membendung
atau membantu pesakit sedangkan sepatutnya perkara itu boleh dielakkan
daripada berlaku. Keluarga juga mengalami kesan dari kejadian sumbang
mahram. Antaranya ialah nama baik dan maruah keturunan yang tercemar,
hina dan dicela oleh masyarakat, hilangnya perasaan sayang, hormat dan
mesra sesama ahli keluarga, tidak sah taraf untuk anak yang lahir dari
hubungan sumbang mahram dan lemah mental, kemungkinan nikah sesama
mahram, kebajikan generasi yang dilahirkan terabai, anak yang mewarisi
sifat keji ibu bapa (pelaku sumbang mahram), disisih masyarakat,
menyumbang kepada masalah sosial masyarakat dan berlakunya pengabaian
tanggungjawab.
Selain daripada itu, terdapat juga kesan
keseluruhan terhadap masyarakat, antaranya ialah melambatkan proses
pembangunan masyarakat, menjejaskan imej masyarakat Islam dan Malaysia
amnya, melambatkan proses pembentukan keluarga dan masyarakat,
merenggangkan hubungan kemasyarakatan, meningkatkan keruntuhan institusi
keluarga di samping penambahan kepada masalah sosial sedia ada.
Akibat
dari perbuatan sumbang mahram ini bukan sahaja meliputi kehilangan
maruah diri, tetapi juga mengakibatkan kepada timbulnya berbagai-bagai
masalah psikologi dan mental yang boleh merosakkan generasi yang akan
datang. Selain dari itu, terdapat juga kesan negatif kepada ekonomi
negara seperti terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar untuk program
pemulihan dan pencegahan, daya pengeluaran negara terjejas kerana
sumber tenaga yang lemah, membantutkan pembangunan negara serta
kurangnya sumber tenaga yang berkualiti.
H. Langkah-Langkah Untuk Menangani Sumbang Mahram
Terdapat
beberapa langkah yang boleh diambil untuk membendung kejadian sumbang
mahram dari terus berleluasa. Antaranya adalah dengan memberikan
kemahiran keibubapaan yang secukupnya untuk pasangan suami isteri,
memberi penerangan bahawa mangsa sumbang mahram adalah tidak bersalah
dan menanamkan keyakinan untuk meneruskan hidup baru, meluangkan masa
untuk bersama dengan anak-anak dan mengawasi mereka, memberikan
pendidikan seks di sekolah yang memberi penekanan kepada pengenalan
bahagian badan, penjagaannya, pengawalannya dan mengenali batas
perhubungan di antara lelaki dan wanita, mempraktikkan ajaran agama
yang kukuh di kalangan anggota keluarga terutama sekali tentang
nilai-nilai kehidupan yang patut diikuti, mengadakan pusat rujukan
khidmat berterusan yang merupakan tempat di mana pasangan muda membuat
rujukan tentang perkahwinan dan keibubapaan, mengadakan khutbah nikah
yang khusus untuk menimbulkan keinsafan di dalam diri seorang lelaki dan
peringatan tentang tanggungjawab dirinya terhadap isteri, anak-anak dan
juga anak-anak tiri yang sepatutnya dilindungi olehnya, rancangan
bersepadu yang membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan prasarana
untuk membendung gejala-gejala sosial dari terus berleluasa. Ini
termasuklah rumah berbilik tiga untuk keselesaan penduduk, sama ada yang
berpendapatan rendah ataupun yang sebaliknya di samping penguatkuasaan
undang-undang yang lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan juga
undang-undang untuk melindungi mangsa.