Sunday, 29 April 2012

Rakaman CCTV Kes Nurin Jazlin

Nuffnang Ads
Tiga lelaki yang dilihat dalam rakaman CCTV berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin telah menghubungi polis. Mereka telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk memberi penjelasan tentang tujuan mereka berhenti di hadapan kedai di mana mayat Nurin Jazlin ditemui.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketiga-tiga lelaki berkenaan memberi kerjasama yang baik dan kenyataan mereka telah direkodkan. Pihak polis juga tidak menahan mereka bagi membantu siasatan.

Sebelum itu pada 11 Oktober yang baru lalu pihak polis telah mempertontonkan dan mengedarkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Rakaman CCTV ini telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk dilakukan proses "enhancement".

Rakaman pada 16 September 2007 pukul 1.00 petang itu menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal Modenas Kriss tiba dengan membawa beg Diadora berwarna biru hitam. Dia dilihat membuat panggilan telefon dan selepas itu mengangkat beg yang dipercayai mengandungi mayat Nurin Jazlin ke tepi bangunan. Lelaki itu kemudian terus meninggalkan tempat itu dengan motosikalnya. Sila ke laman video The Star Online untuk menyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Kira-kira sejam kemudian seorang wanita berbaju merah kelihatan mundar mandir di depan kedai berkenaan sebelum berdiri menunggu sesuatu di situ. Gambar lakaran wanita tersebut telah diedarkan oleh pihak polis sebelum ini. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Tidak lama kemudian sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak yang dinaiki oleh tiga orang lelaki kelihatan berhenti di hadapan kedai di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Tiga orang lelaki yang berada di dalam kereta ini telah pun hadir ke balai polis untuk memberi keterangan. Walaupun begitu wanita berbaju merah yang turut beredar dari situ bersama-sama kereta yang sama belum lagi tampil ke hadapan. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Terkini :
Seorang wanita berbaju merah yang dapat dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui telah hadir di Ibu Pejabat Polis Petaling pada hari Sabtu 20 Oktober lalu. Menurut Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pihak polis telah merekodkan keterangan wanita yang berumur 15 tahun itu dan berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan. Beliau juga menegaskan, ketika ini pihak polis memberi tumpuan kepada usaha mengesan lelaki yang membawa dan meletak beg Diadora di tepi tangga kedai di Taman Petaling Utama pada 16 September lalu.

, , ,

Rebet Tunai Minyak

Nuffnang Ads
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan baru-baru ini kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter. Bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak ini pemilik kereta yang berkuasa enjin sehingga 2,000cc, serta pikap, trak dan jip sehingga 2,500cc, akan mendapat rebet RM625 bagi setiap kenderaan manakala motosikal 250cc akan menerima RM150.

RM625 & RM150
Pada asalnya rebet ini akan hanya mula dibayar pada 1 Julai 2008 tetapi telah diawal kepada hari Sabtu ini 14 Jun 2008. Tuntutan rebet tunai minyak ini boleh dibuat di mana-mana pejabat pos. Semua pejabat pos beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu berikutan Jumaat merupakan cuti hujung minggu. Pejabat pos ditutup pada Sabtu pertama setiap bulan dan juga pada cuti umum.

Berikut adalah prosedur untuk menuntut rebet tunai minyak tersebut;

  1. 1. Membawa kad pengenalan atau MyKad atau kad pengenalan polis/tentera.

  2. 2. Pemilik asal kenderaan sahaja.

  3. 3. Maksimum lima kenderaan persendirian bagi setiap pemilik.

  4. 4. Mengisi butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan pada borang yang terdapat di pejabat pos.

  5. 5. Mengisi borang berasingan bagi setiap kenderaan.

  6. 6. Pos Malaysia akan mengesahkan butiran dengan sistem pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menentukan kelayakan rebet tunai.

  7. 7. Pihak ketiga tidak dibenarkan membuat tuntutan bagi pihak pemilik kenderaan.

Selain membuat bayaran tuntutan secara tunai, Pos Malaysia juga menyediakan kemudahan bayaran rebet tunai menerusi kiriman wang.

Bagi mendapatkan bayaran melalui kiriman wang, pemilik kenderaan perlu melakukan prosedur yang sama dan juga menulis alamat tetap atau alamat surat menyurat serta nombor telefon untuk dihubungi pada borang yang sama. Borang ini hendaklah dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan di pejabat pos.

Tempoh masa penerimaan bayaran kiriman wang melalui pos ini adalah lebih kurang tujuh hari. Kiriman wang ini boleh ditunaikan oleh pemilik kenderaan di pejabat pos atau memasukkannya ke dalam akaun bank persendirian.

Bagi tempoh Fasa 1, pemilik kenderaan yang telah membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei tahun ini boleh membuat tuntutan mulai Sabtu ini sehingga 31 Mac tahun depan.

Bagi Fasa 2, pemilik kenderaan yang membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 Jun tahun ini sehingga 31 Mac, 2009, boleh membuat tuntutan bagi rebet tunai di semua pejabat pos mulai 1 Julai.

Maklumat yang lebih terperinci mengenai tuntutan subsidi rebet tunai dan borang tuntutan rebet tunai ini boleh didapati di laman web Pos Malaysia.

Mampukankah rebet RM625 dan RM150 ini menampung bebanan rakyat dengan kenaikan petrol sebanyak 41% dan diesel 63% ?

Technorati Tags: , , , ,

Angkasawan Negara

Hari ini 10 Oktober 2007 pada pukul 9.21 malam, kapal angkasa Soyuz TMA-11 telah melonjak meninggalkan bumi dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. Tiga orang penumpang di dalamnya ialah Komander Peggy A. Whitson dari Amerika Syarikat, Jurutera Penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Mereka akan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang terletak lebih daripada 300km dari bumi.

Ini merupakan satu detik bersejarah kepada negara Malaysia kerana telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di angkasa selama 10 hari, ini ternasuk 8 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa. Kapal angkasa Soyuz TMA-11 dijangka akan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa pada 12 Oktober pukul 10.51 malam. Di situ nanti Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan mengadakan tiga ujikaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor - Angkasawan NegaraDr. Sheikh Muszaphar Shukor dilahirkan pada 27 Julai 1972 di Kuala Lumpur. Beliau telah belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Maktab Rendah Sains MARA Muar, Johor. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mempunyai MBBS dari KMC Manipal, India dan Master in Orthopaedic Surgery dari HUKM. Sekarang ini bekerja di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semenjak tahun 2005. Sebelum itu beliau pernah bertugas di Hospital Seremban (1998), Hospital Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).

Beliau merupakan orang Islam ke sembilan ke angkasa dan yang pertama akan merayakan Aidil Fitri nun jauh dari bumi. Pada 1 Syawal nanti beliau akan menjamu 16 orang angkasawan lain di Stesen Angkasa Antarabangsa. Makanan yang dibawa untuk dihidangkan ialah biryani ayam, satay ayam, rendang tok, kepingan mangga kering, gulungan pisang, tempe, jeli halia, Roselle Granola bar dan kuih raya bangkit.

Beberapa isu juga telah timbul berkaitan dengan program angkasawan negara ini. Bermula dengan wang yang begitu banyak yang dibelanjakan untuk menjayakan program ini walaupun setelah pihak kerajaan memaklumkan bahawa kosnya merupakan sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003. Ini diikuti pula dengan pihak NASA yang hanya menyebut Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai "spaceflight participant" sahaja bukannya angkasawan.

Walau apapun pendapat anda, kita berdoalah supaya misi yang diikuti oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sehinggalah beliau balik ke bumi pada 21 Oktober nant

Gambar Bedah Siasat Nurin Jazlin

iapakah yang sanggup mengedarkan beberapa gambar seorang kanak-kanak yang telah didera dan longlai tidak bernyawa lagi. Gambar-gambar yang mengaibkankan menunjukkan kesan-kesan kekejaman yang terpaksa ditanggung oleh seorang insan kecil yang tidak berdosa. Sesiapa yang mempunyai perasaan pasti tersentuh apabila melihat gambar-gambar tersebut, apatah lagi jika kaum keluarga terutama ibubapa beliau yang melihatnya.

Gambar-gambar bedah siasat Nurin Jazlin telah disebar melalui emel hari ini oleh orang tertentu. Penyebaran gambar-gambar tersebut menjadi meluas apabila ramai yang menerimanya telah menyebarkannya semula kepada kenalan masing-masing. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar telah membuat laporan polis selepas melihat gambar-gambar yang disebarkan melalui emel itu.

Beliau memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengedarkan gambar-gambar tersebut kerana mereka boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi atau didakwa memiliki bahan-bahan lucah. Menurut beliau amaran ini ditujukan kepada anggota polis yang mempunyai akses secara langsung kepada gambar-gambar itu serta mereka yang ada menyimpan gambar itu sekarang, ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pihak keluarga arwah Nurin Jazlin juga ada membuat kenyataan melalui laman blog Nurin bahawa mereka juga akan membuat laporan polis dan memohon orang ramai menghentikan mengedarkan gambar-gambar tersebut. Oleh itu sesiapa yang telah atau akan menerima gambar-gambar tersebut tidak akan menyimpan atau menyebarkannya kepada orang lain.

Terkini : Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memaklumkan bahawa individu yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin Jazlin Jazimin telah dikenal pasti. Individu berkenaan telah pun ditangkap dan akan dihadapkan ke mahkamah. Maklumat lanjut berkenaan individu tersebut belum boleh didedahkan sehinggalah pihak polis telah sedia untuk mendakwanya. Berita penuh boleh dibaca di Bernama.

Akademik Nasyid

Nuffnang Ads
Program realiti Akademi Nasyid yang diperkenalkan TV9 dilihat mampu melahirkan satu kelompok penggiat irama nasyid global atau universal. Secara tidak langsung melalui program ini, irama nasyid tanah air akan berkembang dan mampu bersaing seperti mana irama pop, balada, R&B, rock, jazz dan hip hop.

uji bakat berakhir 8 Jun
Program yang memaparkan kelainan daripada program realiti sedia ada bersesuaian dengan imej TV9 sebagai stesen televisyen yang menjurus kepada program berunsur Islam serta menerapkan nilai murni kepada penonton.

Selama ini, banyak stesen mencari bakat hiburan bagi penyanyi yang boleh membawa lagu berbentuk pop rock, balada, etnik kreatif dan hip hop. Kami berusaha ingin memberi ruang yang lebih luas kepada genre nasyid di mana nasyid juga adalah sesuatu yang universal.

Akademi Nasyid akan menampakkan bahawa sesebuah nasyid itu bukan terbelenggu dengan muzik lama dan sempit, tetapi Akademi Nasyid akan memaparkan kepelbagaiannya dari kontemporari ke puisi acapella dan sebagainya.

Apa yang penting dan diutamakan juga ialah mesej melalui lirik yang baik, kreatif, segar, menginsafkan dan memberi peringatan serta pengajaran.

Pihak TV9 yakin rancangan realiti Akademi Nasyid ini pasti mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton kerana rancangan itu dapat melahirkan ramai lagi bakat baru dalam muzik nasyid kontemporari yang berunsurkan ketuhanan dan kemanusiaan, sekali gus dengan adanya rancangan itu ia dapat mempopularkan lagi muzik nasyid di negara ini.

TV9 kini membuka penyertaan kepada penggemar irama ini untuk tampil menunjukkan bakat mereka pada sesi uji bakat yang bakal diadakan di enam lokasi.

Pihak TV9 percaya ramai anak-anak muda yang berbakat sama ada perseorangan atau kumpulan di luar sana menanti peluang ini dan menyeru mereka tampil untuk menunjukkan bakat mereka dalam Akademi Nasyid.

Penyertaan dibuka kepada semua yang berminat sama ada secara solo mahupun berkumpulan yang tidak melebihi lima orang setiap kumpulan dan menepati syarat penyertaan seperti berikut, warga negara Malaysia yang berumur 18 sehingga tidak melebihi 35 tahun.

Penyertaan secara berkumpulan mestilah kumpulan jantina yang sama. Kumpulan lelaki atau kumpulan perempuan dan peserta mestilah bertaraf amatur serta tidak pernah menandatangani kontrak rakaman album dengan mana-mana syarikat rakaman.

Bagi kemudahan peserta disediakan tujuh lagu yang boleh dipilih oleh peserta semasa sesi uji bakat seperti Intifada (Rabbani), Permata (Kopratasa), Al-Iktiraf (Raihan), Permaidani (Aris Ariwatan), Doa (Rahimah Rahim), Sesungguhnya (Raihan) dan Berita Kepada Kawan (Akil Hayy).

Peserta akan melalui tiga peringkat uji bakat sebelum layak menyertai Akademi Nasyid yang bakal disiarkan stesen ini bermula 1 Jun dan berakhir 30 Ogos sebanyak 11 episod.

Pada masa yang sama, pihak TV9 juga akan mengadakan roadshow sehari sebelum sesi uji bakat yang diadakan di setiap lokasi yang ditujui.

Ponteng Antara Masalah Disiplin Pelajar Sekolah

Sebelum ini saya ada menulis tentang beberapa masalah disiplin pelajar walaupun sekolah baru sahaja dibuka selama tiga minggu pada tahun ini. Cerita bagaimana seorang pelajar yang maut setelah jatuh daripada tingkat dua sekolahnya, ketua pengawas dipukul oleh sekumpulan pelajar sehingga mendapat jahitan di kepala dan kisah seorang pelajar tingkatan satu yang dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan dua dan tiga ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Pelajar Sekolah.

Sementara itu pada tahun lepas pula saya ada menulis tentang beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam usaha untuk menanggani masalah disiplin ini. Cerita tentang bagaimana pentingnya peranan ibubapa, keluarga, sekolah dan rakan sebaya. Malah arah tuju sistem pendidikan yang lebih menjurus kepada peperiksaan ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Sekolah.


ponteng sekolah
Salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.

Jangan terkejut jika ada yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang bersekolah rendah. Ini amat ketara semasa kelas ganti pada hari Sabtu dan ketika selepas peperiksaan. Kedatangan yang merosot ini boleh dilihat apabila pelajar beberapa kelas terpaksa digabungkan untuk memenuhkan sebuah kelas. Cubalah tanya kepada anak atau adik anda bila ada kelas gantian hari Sabtu atau selepas peperiksaan nanti.

Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri. Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan seringlah dia melencong ke tempat lain.

Pihak sekolah juga perlu mengambil perhatian kerana antara punca pelajar ponteng ialah kegagalan pihak sekolah menyediakan program yang menarik setelah selesainya peperiksaan. Ini telah dijadikan alasan oleh ibubapa dan para pelajar yang mengatakan membuang masa dan bosan untuk ke sekolah.

Oleh itu sekolah patut mengadakan program yang menarik minat pelajar hadir ke sekolah selepas menduduki peperiksaan. Sementara itu ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya terus ke sekolah meskipun peperiksaan telah berakhir.

Pada tahun lepas Kementerian Pelajaran ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Perubahan yang dicadangkan ini juga membabitkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila ianya dilaksanakan tahun ini pihak kementerian berharap masalah ponteng sekolah akan dapat dibendung.

Semoga secara beransur-ansur masalah disiplin pelajar sekolah ini akan dapat dikurangkan. Di masa akan datang saya akan menyentuh tentang cara terbaik untuk mengendalikan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Technorati Tags: , , ,

Raya, Remaja, Motosikal Dan Kemalangan

ari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911 berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana 53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi. Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.

Pada tahun lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.

Sepanjang bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal. Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa. Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari raya di rumah kawan.

Kita semua sedia maklum apabila remaja ini berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi.

Kenapakah ibubapa begitu mudah membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan lalu lintas jalanraya.

Saya masih ingat kepada satu peristiwa yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota polis telah mengarahkan dia berhenti.

Bagi mengelakkan ditahan polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri. Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.

Menurut adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak polis lagi.

Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?

Technorati Tags: , , , ,